Monday, September 20, 2010

Rayu bantuan bawa pulang anak ‘terkandas’ di Medan


GENAH Beram dan Mohd. Khalid menunjukkan gambar anak mereka, Mohamad Shahril (gambar kecil) yang ‘terkandas’ di Medan, Indonesia.


BALING 19 Sept. – Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Palong, Bongor di sini, merayu kepada mana-mana pihak bagi membantu membawa pulang anak lelaki mereka yang ‘terkandas’ di Medan, Indonesia, sejak mengikut isterinya, seorang rakyat negara itu lebih enam tahun lepas.
Mohd. Khalid Mat Amin dan isterinya, Genah Beram, kedua-duanya berusia 49 tahun, berkata, anak lelaki mereka Mohamad Shahril, 30, kini berada di Kampung Durian, Kacamatan Sel Balai Kab, Asahan Kisaran, Medan.
Mereka berkata, Mohamad Shahril mengikut isterinya, Nur Diana Sibuea, 27, bersama dua anak mereka, dan mendakwa tidak dapat pulang ke Malaysia kerana kesukaran hidup.
“Mohamad Shahril beberapa kali merayu supaya keluarga di sini mengirimkan wang kepadanya untuk tambang pulang kerana tidak mampu lagi meneruskan kehidupan di kampung halaman isterinya,” kata Genah.
Beliau turut merayu supaya Kelab Putera 1Malaysia yang dipengerusikan Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling membantu mereka untuk membawa pulang Mohamad Shahril, isteri dan tiga anaknya ke Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, anaknya sering meminta mereka mengirim wang kepadanya kerana kesempitan hidup.
“Saya amat sedih dengan apa yang diceritakan Mohamad Shahril yang memberitahu mereka amat menderita kerana tiada wang dan kerja yang dilakukan sekarang tidak cukup untuk menanggung keluarganya,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya lagi, Mohamad Shahril dan Nur Diana berkahwin sembilan tahun lepas di Pulau Pinang dan setelah mendapat dua orang anak, Muhammad Hishamuddin, 8, dan Mohamad Rezki Idawi, 7, Nur Diana mengajak Mohamad Shahril pulang ke kampung halamannya untuk berjumpa dengan keluarga.
Namun, sehingga kini, mereka tidak pulang, malah pernah terputus hubungan dengan keluarga di sini selama tiga tahun.
Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga tersebut membawa pulang anak mereka boleh hubungi Mohd. Khalid di talian 019-5765 894. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment