Monday, September 20, 2010

Wang royalti dikebas nak bagi wang ihsan pula ingat pengemis ke?

Wang ihsan: Habuan secara terus 
- DR NIK YAHYA AB RAHMAN 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat tahun lalu, Kelantan akan menerima wang ihsan daripada Kerajaan Pusat hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu mulai 2010. 

Najib berkata, sama seperti Terengganu, pembayaran wang ihsan itu diberi setelah Kerajaan Pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras arus pembangunan negara. 

“Bagi memastikan agihan wang ihsan itu dibuat dan dinikmati secara langsung oleh rakyat Kelantan, peruntukan tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program membasmi kemiskinan dan akan disalurkan terus oleh kerajaan (Pusat) setelah berbincang dengan Kerajaan Negeri,” katanya di Dewan Rakyat pada 3 November tahun lalu. 

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam, termasuk sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara. 

Maka, Kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan telah menunaikan janjinya untuk mengagihkan wang ihsan kepada pelajar di Kelantan pada 6 Ogos lalu. Tertunainya pengagihan berkenaan, ia telah menolak bulat-bulat tohmahan, tanggapan buruk sangka dan adu domba Pas Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Pengagihan wang ihsan berkenaan sebahagian daripada hasrat BN Kelantan kepada rakyat negeri itu tahun ini. Sejumlah RM15 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada lebih 70,000 orang pelajar yang tidak pernah menerima bantuan di bawah dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan keluarga berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan. 

Majlis julung kali diadakan Jawatankuasa berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) dan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) dirasmikan Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Yunus Bachok. 

Seramai 1,301 pelajar Tingkatan Enam daripada enam sekolah di daerah ini menerima agihan wang ihsan berjumlah RM260,600. Turut menerima sumbangan ialah ibu bapa pelajar sekolah rendah dari seluruh Jajahan Bachok seramai 3,335 orang berjumlah RM 667,000. 

Jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan mempertimbangkan permohonan sekolah atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan rawatan pelajar yang menghidap penyakit kronik 

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Hussin menyatakan, pemberian wang ihsan itu adalah petanda yang kerajaan BN tidak mengabaikan atau meminggirkan negeri itu. 

Ini sekali gus menolak tanggapan kerajaan Pas yang menyatakan wang ihsan akan disalahgunakan oleh kerajaan BN. 

Bagi Ketua Wanita UMNO Kelantan, Datin Rahimah Muhamad, pengagihan wang ihsan itu akan mengurangkan beban yang ditanggung keluarga. Katanya, walaupun jumlahnya kecil iaitu hanya RM200 tetapi hasrat kerajaan cukup besar dalam memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat habuan secara terus.

No comments:

Post a Comment