Wednesday, October 13, 2010

19 butir peluru dirakam di dua lokasi



SHAH ALAM – Seorang jurugambar memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, memberitahu mengambil gambar 19 butir peluru terdiri daripada anak dan kelongsong di kawasan kejadian kejar dan tembak seorang remaja, Aminulrasyid Amzah pada 26 April lalu. 

Detektif Koperal Mokhtar Hussin, 50, dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah Selangor berkata, dua daripada gambar terbabit diambil di tempat kejadian, Jalan Tarian, Seksyen 11, Shah Alam pada tengah malam hari berkenaan dan pada sebelah pagi, 28 April lalu. 

Saksi itu berkata, pada sebelah petang, 28 April lalu pula dia mengambil gambar sebanyak 17 butir kelongsong peluru yang ditemui dari Bulatan Kayangan hingga ke tempat kejadian kereta Aminulrasyid, 15, tersadai selepas terkena tembakan polis. 

Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun itu, tanpa niat di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu. Ketera- ngan saksi mengenai gambar anak dan kelongsong peluru itu ketika sesi soal balas oleh peguam Jenain, M Athimulan. 

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Adillah Ahmad, saksi itu memberitahu, selain mengambil gambar anak dan kelongsong peluru, beliau juga mengambil gambar keseluruhan pokok yang terkopak, kereta Proton Iswara putih yang dipandu Aminulrasyid, dan kesan tembakan termasuk bahagian dalam kereta serta gambar mangsa. 

Ketika disoal balas seorang lagi peguam Jenain, Salim Bashir, saksi itu memberitahu beliau tidak dapat mengagak atau mengira jarak antara kelongsong dan serpihan peluru yang diambil gambar itu tetapi bersetuju bahawa kedua-dua barang kes itu dirakam di dua tempat berasingan. 

Semasa sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar saksi memberitahu, kelongsong yang dirakam itu dalam keadaan berlainan posisi. 

Semalam ialah hari pertama perbicaraan terhadap Jenain yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan menyebabkan kematian Aminulrasyid. 

Turut hadir ke perbicaraan ialah ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60, dan sanak saudara termasuk orang awam yang mengikuti kes perbicaraan Aminulrasyid. 

Semalam dijangkakan rakan Aminulrasyid, Muhammad Azamuddin Omar, 15, memberi keterangan bagaimanapun enam saksi yang juga anggota polis dipanggil lebih awal. 

Mereka ialah anggota Gerakan, Lans Koperal Mohd Sabri Salleh, jurugambar polis, Ahmad Zamzami Abdul Wahab, 25, Lans Koperal Saiful Izam Abd Hamid, 31, dan anggota cawangan persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Shah Alam, Jamaludin Basir, 46. 

Terdahulu, Muhammad Azamuddin yang sebelum ini dikatakan trauma akibat kejadian rakannya itu ditembak hadir ke mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi ditemani ahli keluarganya. 

Kejadian kejar dan tembak Aminulrasyid mencetuskan kontroversi di negara ini kerana polis dikatakan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan kepada orang awam. 

Menurut laporan, Aminulrasyid dan rakannnya itu sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam pada malam kejadian itu. 

Difahamkan selepas keretanya memotong sebuah kereta polis, kenderaannya dikejar dan beberapa das tembakan dilepaskan polis kerana dikatakan enggan berhenti. 

Kereta Aminulrasyid akhirnya ditemui terbabas dan remaja itu ditemui mati di kerusi pemandu.

No comments:

Post a Comment