Wednesday, October 13, 2010

Petisyen selamatkan bangunan stesen KTM Tanjung Pagar



BANGUNAN bersejarah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Tanjung Pagar, Singapura. - AGENSI



SINGAPURA 12 Okt. - Tiada lagi gedung membeli-belah bergemerlapan, restoran anggun dan kondominium mewah, tetapi peliharalah budaya dan sejarah.
Begitulah rayuan daripada sekumpulan aktivis Singapura yang sudah memulakan petisyen untuk memelihara bangunan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar serta sejarahnya yang kaya untuk manfaat generasi akan datang.
Nasib stesen usang tetapi bersejarah milik Malaysia itu, terletak di kawasan perniagaan dan pelabuhan yang ultramoden di Singapura, membangkitkan nostalgia untuk zaman silam.
Stesen Tanjong Pagar yang dibina semasa zaman penjajah British akan dikosongkan menjelang Julai tahun depan di bawah perjanjian yang dimeterai baru-baru ini bagi menyelesaikan pertikaian tanah berlarutan antara kedua-dua negara.
Terminal KTM itu akan dipindahkan ke Woodlands, kawasan pinggir utara berdekatan Tambak Johor.
Masa depannya serta tanah KTM lain yang bakal diserahkan balik kepada Singapura adalah sebahagian daripada kajian semula berterusan oleh Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) mengenai penggunaan tanah dalam tempoh 40 hingga 50 tahun akan datang.
Sekumpulan aktivis Singapura memulakan petisyen bagi memelihara stesen Tanjung Pagar kerana banyak bangunan zaman penjajah telah diubah suai untuk kegunaan komersial.
"Saya mahu generasi akan datang mengetahui bahawa suatu masa dahulu, stesen ini menghubungkan Singapura dengan bahagian lain dunia... sebelum Internet memudahkan kita menggunakan Google bagi mencari sebarang maklumat.
"Bangunan lama mengingatkan kita mengenai asal-usul kita," kata Carolyn Seet yang melancarkan petisyen itu pada Julai lalu dan mewujudkan sebuah akaun Facebook 'Jadikan Stesen Tanjong Pagar sebuah Muzium'.
Pakar teknologi maklumat itu menyarankan agar stesen tersebut dijadikan muzium seperti Musee D'Orsay, muzium di Paris yang terletak di tapak bekas stesen kereta api.
Seet berharap untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 1,000 tandatangan sebelum akhir tahun ini sebelum menyerahkan petisyen ke pejabat Perdana Menteri Lee Hsien Loong. - AFP

No comments:

Post a Comment