Sunday, October 10, 2010

Kata dua untuk AS


SIRTE, Libya 9 Okt. - Menteri-Menteri Liga Arab semalam memberikan masa sebulan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan rundingan damai Asia Barat, yang dikatakan akan gagal kecuali Israel menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Jawatankuasa Susulan Liga Arab dalam satu kenyataan memberitahu, ia akan bersidang dalam masa sebulan lagi bagi meneliti semula alternatif yang dicadangkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan menetapkan langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil.
Jawatankuasa proses damai Asia Barat yang dianggotai 13 menteri luar Arab itu, turut menggesa Washington mendesak Israel menghentikan aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi.
"Jawatankuasa menyokong pendirian Abbas yang menuntut pembinaan penempatan haram Yahudi dihentikan sepenuhnya bagi membolehkan rundingan damai disambung semula," jelas kenyataan tersebut.
Jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, kenyataan itu menyatakan sokongan padu terhadap pendirian Presiden Palestin tersebut.
Kenyataan Liga Arab itu disambut baik AS yang berjanji akan menjalankan pelbagai usaha bagi membolehkan rundingan damai diteruskan.
Sementara itu, Abbas semalam dilapor telah memberitahu pemimpin-pemimpin Arab bahawa beliau akan meminta AS mengiktiraf negara Palestin.
Langkah beliau itu akan meletakkan tekanan baru ke atas Israel untuk melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan rumah haram Yahudi di Tebing Barat, tanpa Abbas menyebut rundingan damai tidak akan diteruskan.
Perunding kanan Palestin, Saeb Erekat berkata, 'alternatif' kepada rundingan secara langsung yang dilancarkan lima bulan lalu itu telah dibicangkan, antaranya meminta AS mengiktiraf sempadan Palestin 1967. - AFP/Reuters

No comments:

Post a Comment