Monday, October 4, 2010

KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu tegas



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak tegas termasuk menahan dan mendakwa Katy Lim Li Nian kerana kebiadapannya terus menghina Islam di Internet termasuk laman sosial Facebook.
Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Katy Lim perlu didakwa kerana ada individu lain sebelum ini dihadapkan ke mahkamah kerana menghina agama lain.
"Sebelum ini ada seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berbangsa Melayu telah dihadapkan ke mahkamah kerana menulis komen yang dikatakan berunsur perkauman di Facebook, begitu juga dengan dua beradik yang didakwa membakar gereja.
"Jadi, kenapa Katy Lim ini menerima keistimewaan apabila langsung tidak ada tindakan diambil terhadapnya, mengapa perlu ada pilih kasih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai komen di laman Facebook yang ditulis oleh Katy Lim yang menghina Islam termasuk mencerca Allah.
Walaupun SKMM sebelum ini dilaporkan sudah menyiasat perkara itu, namun masih menjadi kemarahan umat Islam apabila komen Katy Lim itu dipautkan ke beberapa blog lain dan dijadikan sumber saling mencerca.
Sehubungan itu, Mohd. Zahid meminta pihak berkenaan tidak sekadar menyiasat sahaja kerana perkara serius berkenaan yang boleh menggugat keselamatan negara.
"Saya anggap SKMM sekadar melepaskan batuk di tangga, hanya siasat sahaja dan itu tidak cukup. Sehubungan itu, saya menggesa menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya memandang serius hal ini.
"Kalau tidak ada kuasa, cari kuasa itu supaya tindakan tegas terhadap individu yang menghina agama lain menerusi Facebook dan blog dikenakan tindakan tegas," katanya.
Pada masa yang sama, Mohd. Zahid turut menggesa supaya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berperanan lebih berkesan bagi menangani tindakan pihak tidak bertanggungjawab di negara ini yang berniat jahat.
"Kita bimbang KDN akan dipersenda oleh rakyat malah sudah ada cakap-cakap yang menggelarkan KDN sebagai 'kementerian beri amaran' sahaja," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, rakyat Malaysia yang tidak menghormati pegangan agama lain di negara ini juga bermaksud menentang Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan Agama.
"Mereka harus ingat perkara itu kerana untuk membentuk gagasan 1Malaysia, setiap rakyat perlu menjunjung asas Rukun Negara.
"Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu lebih tegas mengambil tindakan, dan jangan sekadar siasat sahaja, mesti ada tindakan susulan, negara ini ada undang-undang, apa nak takut," katanya.
habis

No comments:

Post a Comment