Monday, October 4, 2010

Polis lelong motosikal RM30



NIBONG TEBAL – Sebanyak RM2,375 berjaya dikumpulkan apabila 20 motosikal yang tidak dituntut pemilik dan dirampas, dilelong kepada orang ramai. 

Lelongan yang dimulakan sekitar jam 9 sehingga 10 pagi itu dilakukan di pekarangan Balai Polis Nibong Tebal dan dikendalikan oleh beberapa pegawai dan anggota polis yang ditugaskan. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, RM2,375 berjaya diperoleh hasil dari lelongan itu. Harga tertinggi yang ditawarkan oleh pembeli ialah sekitar RM500. 

“Tujuan diadakan lelongan berkenaan adalah untuk mengurangkan barang-barang yang tidak dikehendaki dan tidak dituntut oleh pemilik yang terdapat di IPD. 

“Wang yang diperoleh akan diberikan kepada tabung polis manakala bakinya akan diberikan kepada perbendaharaan. 

“Bagi tabung polis sebanyak RM885 akan diberikan manakala RM1,490 pula akan diberikan kepada perbendaharaan ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Menurutnya, lelongan berkenaan merupakan kali kedua yang diadakan pada tahun ini dan setakat ini sambutan yang diberikan ketika lelongan dijalankan amat menggalakkan. 

“Apa yang menarik pada lelongan kali ini ialah, harga terendah yang ditawarkan ketika lelongan dijalankan adalah sekitar RM30 bagi motosikal yang hanya memiliki rangka badannya sahaja. 

“Lelongan pada kali itu juga melibatkan pelbagai motosikal antaranya seperti Modenas Kriss, Yamaha, Honda dan Suzuki,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment