Friday, October 29, 2010

Pemeriksaan ke atas Saiful tidak guna jari



KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seorang doktor pakar bedah am Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menggunakan proktoskop dan bukannya jari semasa pemeriksaan dubur Mohd. Saiful Bukhari Azlan untuk mengelakkan pencemaran dan kecederaan di bahagian tersebut.
Dr. Mohd. Razali Ibrahim, 37, memberitahu, sebelum prosedur pemeriksaan tersebut dilakukan, beliau telah bertanya kepada pengadu terlebih dahulu sama ada ia boleh dijalankan kerana kemasukan bahan itu boleh menyebabkan kesakitan.
''Sebelum saya memulakan pemeriksaan, saya menjelaskan kepada pesakit saya akan memasukkan sesuatu ke dalam bahagian duburnya dan jika rasa sakit, saya pasti tidak akan meneruskannya,'' katanya ketika disoal balas oleh peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair.
Ketua Pembangkang itu dibicarakan kerana didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Mohd. Razali sebelum itu disoal oleh Nair mengapa beliau tidak bertanya kepada Mohd. Saiful Bukhari sama ada dia masih merasa sakit sedangkan beliau mengetahui pemuda itu pernah mengadu sakit dubur ketika pemeriksaan awal di Hospital Pusrawi.
Menurut saksi pendakwa kedua tersebut, beliau tidak bertanya secara langsung kepada pengadu mengenai perkara tersebut tetapi telah memberitahu kepadanya prosedur yang dijalankan.
''Saya jelaskan kepadanya, prosedur tersebut akan menyebabkan ketidakselesaan dan sakit, dan pesakit itu menyatakan dia okay,'' katanya.
Mengenai cara pemeriksaan yang dijalankan, beliau yang diberi tanggungjawab memeriksa dubur pengadu berkata, bahagian tersebut diperiksa dengan cara pemuda itu diletakkan secara lateral pada sebelah kirinya di atas katil hospital.
Jelas beliau, kedua-dua lutut pemuda itu diletakkan berdekatan dadanya supaya bahagian dubur terdedah untuk memudahkan pemeriksaan.
Menurutnya, tiada garis panduan bagaimana posisi seorang pesakit diletakkan semasa pemeriksaan itu tetapi posisi tersebut adalah amalan biasa yang dilakukan di hospital.
Beliau pada mulanya memeriksa bahagian perianal pengadu bagi mengambil beberapa calitan putik kapas sebelum memasukkan proktoskop ke dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari.
Ujar saksi tersebut lagi, beliau mengambil dua sampel spesimen daripada bahagian atas dan bawah rektum pengadu serta diserahkan segera kepada pakar patologi forensik, Dr. Siew Sheue Feng.
Ditanya mengenai keadaan rektum pengadu, katanya, keadaannya ketika itu adalah kosong kerana jika ia mengandungi najis, kandungan tersebut akan terkeluar.
Katanya, memandangkan tiada najis, beliau mempunyai peluang untuk mengambil spesimen tanpa ada gangguan.
Berhubung pemeriksaan awal Mohd. Saiful Bukhari di Hospital Pusrawi, menurut Mohd. Razali, pengadu tersebut memberitahu bahawa ada peralatan digunakan tetapi tidak tahu apakah peralatan berkenaan.
"Dia (Mohd. Saiful Bukhari) tidak menyatakan dimasukkan tetapi terdapat alat digunakan dalam pemeriksaan tersebut,'' katanya.
Terdahulu, perbicaraan kes tersebut tidak berjalan lancar pada awalnya apabila prosiding tertangguh sebanyak tiga kali dengan kedua-dua pihak terpaksa dipanggil berbincang secara tertutup di kamar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Ia bermula apabila peguam bela utama Anwar, Karpal Singh pada awal prosiding menyatakan, beliau ingin mengemukakan hujahan bagi mendapatkan nota klinikal doktor pakar terbabit kerana mendakwa terdapat kekeliruan dalam keputusan hakim itu semalam berhubung dokumen sebenar yang diingini oleh pihaknya.
Hakim Mohamad Zabidin bagaimanapun menegaskan keputusannya semalam adalah jelas bahawa hanya laporan perubatan bertarikh 10 Julai 2008 yang boleh dibekalkan dan bukannya nota klinikal.
Perbicaraan bersambung esok dengan hujahan berhubung permohonan pasukan pembelaan untuk mendapatkan nota klinikal.

No comments:

Post a Comment