Friday, October 29, 2010

Penceraian pada usia emas meningkat




SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) digesa mengambil pendekatan menangani gejala penceraian yang semakin meningkat terutama melibatkan pasangan warga emas. 

Peguambela dan Peguamcara Syariah/Sivil, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, kadar penceraian terutamanya bagi warga emas semakin mendadak meningkat jika dibandingkan tahun lalu. 

“Bagi Januari hingga September ini, peningkatan penceraian warga emas berumur lebih 50 tahun hampir mencecah 35 peratus. 

“Jumlah ini amat membimbangkan kerana ketika di usia emaslah seharusnya diluangkan bersama-sama isteri yang bersama puluhan tahun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Menurutnya, walaupun penceraian halal di sisi Islam, namun daripada pandangan generasi muda dan orang bukan Islam adalah tidak wajar ia berlaku terutamanya dalam kalangan warga emas. 

“Bagaimana anak-anak muda masa kini ingin melihat contoh hubungan keluarga yang baik, sedangkan penceraian semakin banyak berlaku pada warga berusia? 

“Masyarakat prihatin khuatir ia akan menjadi ikutan warga muda yang baru melangsungkan bahtera perkahwinan dengan tidak memelihara keharmonian kekeluargaan disebabkan contoh tidak baik ini,” katanya. 

Beliau berkata, kebanyakan kes penceraian usia emas ini berpunca daripada memendam rasa yang terlalu lama yang dihadapi kebanyakan isteri selama ikatan perkahwinan itu berlaku. 

“Ia juga mungkin berpunca sikap suami yang kaki botol, suka memukul dan kerap berfoya-foya dan pada waktu sama, si isteri ingin mempertahankan ikatan perkahwinan demi anak-anak yang kecil. 

“Ketika sudah di usia yang meningkat dan anak-anak pun sudah dewasa, perasaan ingin berpisah dengan pasangan masing-masing meluap-luap berlaku, terutamanya jika si suami masih tidak berubah,” katanya.

No comments:

Post a Comment