Wednesday, October 20, 2010

Premis di tanah rizab diroboh




KOTA BHARU- Seorang pemilik kedai mengalami kerugian RM400 sehari, manakala lima pekerjanya hilang punca pendapatan kira-kira RM140 sehari apabila kedai makan hampir dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kira-kira jam 10 pagi semalam. 

Pemilik kedai berkenaan, Lokman Mat Yunus, 21, berkata, kedai berkenaan merupakan premis warisan yang menjalankan perniagaan makanan sejak 10 tahun lepas dan diambil alih daripada bapa saudaranya sejak dua tahun lalu. 

“Saya mengakui premis ini berada pada tanah rizab kerajaan dan saya menghargai kedai ini tidak dirobohkan secara keseluruhan setelah dibuat rayuan apabila memikirkan ia baru sahaja diubahsuai (tiga bulan lalu) dengan nilai lebih RM10,000. 

“Namun, sebagai peniaga, saya kesal dan masih buntu dengan keputusan ini serta berharap pihak berkaitan membuat pertimbangan bagi membolehkan punca pencarian rezeki kami terbela,” katanya kepada Sinar Harian, di Cabang Tiga, Kampung Kedai Buloh, di sini, semalam. 

Dalam kes ini, pihak PBT yang terdiri daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu (PTJ Kota Bharu), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan beberapa anggota polis turut serta merobohkan bahagian bumbung hadapan kedai itu. 

Katanya, pihak berkuasa berkaitan pernah memberikan surat makluman bagi merobohkan bangunan kedai miliknya tiga hari lepas bagi menjalankan usaha berkenaan Selasa lalu, tetapi pihaknya sudah melakukan rundingan dengan MPKB-BRI, tetapi tidak dengan PTJ Kota Bharu. 

Lokman mendakwa, tindakan membuat laporan mengenai pemilikan tersebut mungkin dibuat oleh kenalannya setelah mereka pernah berniaga bersama, namun apabila berlaku salah faham, kedai berkenaan dibahagikan dan berada pada tanah rizab kerajaan.

“Kedai ini memang menjadi tumpuan lebih 100 pelanggan sehari yang terdiri daripada penduduk kampung yang mendapatkan nasi pagi dan masakan panas semasa beroperasi dari jam 8 pagi hingga 2 pagi. 

“Walaupun ada perasaan terkilan, namun saya menghargai cara pihak berkuasa datang dengan memohon izin terlebih dahulu dan saya merayu akan merobohkan sendiri bahagian lain. 

“Bagaimanapun, saya memohon jasa baik mereka (PBT) supaya memberikan jalan terbaik bagi membolehkan kedai ini masih beroperasi biarpun pada lokasi lain,” katanya. 

Beliau turut mendakwa, abangnya, Mohd Bakri Mat Yunus, 27, pernah membuat perbincangan dengan pemimpin setempat pada Ahad lalu dan sekarang ini mereka sedih apabila kedai yang dahulunya berbumbung atap dan dibina baru terpaksa dirobohkan. 

Sementara itu, pekerjanya, Wan Munirah Wan Noh, 29, sedih apabila memikirkan dia akan hilang punca pencarian setelah bergantung harap dengan sumber pendapatan di kedai itu sejak lebih setahun lalu. 

“Saya terkejut melihat keadaan kedai makan ini dan sekarang saya tidak tahu bagaimana untuk mencari pendapatan sedangkan di kedai ini sudah ramai pelanggan tetapnya yang tersendiri,” katanya yang mempunyai tiga anak. 

Pekerja lain, Wan Yusri Wan Hasan, 33, pula yang mempunyai lima anak berkata, dia terkejut melihat keadaan bumbung kedai yang dirobohkan semasa sampai ke tempat itu bagi memulakan kerja sebagai 

pembantu gerai.

No comments:

Post a Comment