Wednesday, October 20, 2010

Ubah kuota haji

YANG Dipertua (Speaker), bukan saya yang kata tetapi orang Sabah kata, ini Barisan Nasional (BN) mahu masuk syurga pun ada kuota...dalam Islam kita tahu antara syarat mahu masuk syurga ialah naik haji. Jadi, apabila mereka tidak boleh naik haji kerana dikawal oleh kerajaan, siapa yang mahu tanggung dosa?, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
“Dalam televisyen, kita lihat ada yang mengatakan mereka sudah empat, lima dan enam kali naik haji...mereka ini tidak pakai sistem kuotakah?” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Sehubungan itu, beliau mendesak pengurusan Tabung Haji supaya mengubah sistem pemilihan bakal haji berasaskan kuota kerana ia menimbulkan masalah, selain cara lembaga itu yang dianggap terlalu berorientasikan perniagaan. Menurutnya, sistem kuota menyebabkan berlakunya ketidakadilan apabila ada mendakwa tidak diberi peluang mengerjakan rukun Islam kelima.

“Saya mencadangkan Tabung Haji menetapkan satu sistem iaitu mereka yang sudah mengerjakan haji tidak diberi peluang sama untuk tempoh lima tahun bagi membolehkan kuota diberi kepada mereka yang tidak pernah menerima tawaran dan belum berpeluang ke Makkah.

“Ini adil untuk penyimpan Tabung Haji yang mahu mengerjakan haji. Setahu saya, kerajaan Arab Saudi memberi kuota (35,000) kepada Malaysia tetapi ke mana kuota ini pergi? “Apabila kita minta dan tanya pasal kuota, Tabung Haji kata sudah tiada kuota...tahun ini Sabah hanya dapat 1,000 kuota sedangkan kalau bagi 2,000 untuk 13 negeri baru 26,000 orang saja,” katanya.

Abdul Ghapur turut bersetuju dengan pandangan Taib Azamudden Md Taib (Pas-Baling) yang mencelah bahawa Tabung Haji kini sudah lari daripada matlamatnya memberi kemudahan jemaah haji kepada sesuatu yang berbentuk perniagaan. “Tabung Haji ini berfikiran untuk berniaga, ada pakej Zamrud kerana mahu berniaga. Ada juga pakej am iaitu VVIP, kawan, anak saudara pergi naik haji...bayar RM10,000 semua kelas pertama...ini mana boleh! “Sedangkan orang miskin hendak kumpul RM10,000 kais pagi, makan pagi...kenapa? Tabung Haji untuk orang kaya sajakah? Rakyat menabung untuk naik haji, bukan mahu pakej mahal,” kata Abdul Ghapur.

No comments:

Post a Comment