Sunday, November 28, 2010

10 wanita didera sehari



Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2010/11/28

Ramai mangsa enggan buat laporan

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi.
Jumlah sebenar mangsa, katanya, bagaimanapun dipercayai lebih daripada itu kerana angka yang diberikan hanya membabitkan jumlah kes yang dilaporkan.
“Statistik ini diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kita percaya jumlah sebenar (mangsa) lebih banyak lagi, cuma tidak dilaporkan. Pada peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Timbalannya, Senator Heng Sei Kei pada majlis pelancaran Kelab Youth Orbit-Circle of Influence (YO!), di sini semalam.

Shahrizat berkata, apa yang lebih malang ialah pendera atau penjenayah itu lazimnya terdiri daripada individu yang dikenali atau sangat rapat dengan mangsa dan angka yang dilaporkan oleh PDRM itu hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar yang berlaku.

“Realitinya, saya percaya lebih ramai wanita berdiam diri dan enggan melaporkan atau malu untuk melaporkan keganasan serta penderaan ke atas mereka. Situasi ini semakin membimbangkan kerana ia bukan saja mengancam nyawa dan kesejahteraan mangsa, bahkan boleh menggugat pertumbuhan moral masyarakat khususnya generasi muda negara.
“Keganasan terhadap wanita adalah isu global yang masih menghantui kebanyakan negara termasuk negara maju. ini membuktikan isu ini tiada kaitan dengan faktor kaum, kepercayaan agama, status ekonomi dan sosial.

“Pendek kata keganasan terhadap wanita boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu sedar zaman kian moden tidak menghalang keganasan terhadap wanita terus berlaku sama ada secara terang atau tersembunyi dengan keganasan dalam rumah tangga dan sumbang mahram lazimnya disorokkan daripada pengetahuan umum dan mungkin tidak dilaporkan kerana membabitkan maruah keluarga.

“Konotasi ini menyebabkan keganasan terus berlarutan, mangsa menderita untuk tempoh yang lama dan akhirnya menyebabkan kecederaan fizikal serta gangguan mental dan emosi,” katanya.

Antara kes dera isteri


  •  14 Februari 2005, Seremban, Negeri Sembilan — Seorang guru sekolah menengah di Rantau berusia 43 tahun membuat laporan polis kerana sering didera suaminya yang juga pegawai kastam berusia 47 tahun selama dua tahun. Mangsa yang berasal dari Kelantan didera suaminya di rumah mereka di Taman Tuanku Jaafar, Senawang. Lelaki itu menolak isterinya ke lantai beberapa kali hingga mencederakan badan mangsa.



  •  6 April 2000, Cheras, Kuala Lumpur — Seorang suami memperlakukan isterinya seperti binatang apabila mengikat leher dan kaki mangsa menggunakan rantai besi sepanjang tiga meter dan dikunci dengan mangga besar. Mangsa turut diikat pada dinding rumah. Kadangkala suaminya mengheret keluar rumah dan mengikatnya pada tiang pagar di depan rumah di depan anak serta jiran.


  •  1 Februari 1997, Kuala Terengganu — Seorang wanita hamil terpaksa melarikan diri ke rumah ibunya bersama anak sulung berusia 13 bulan selepas dikatakan tidak tahan sikap panas baran suaminya yang kerap memukul dan menderanya hampir setahun. Hadarulyani Shamsi, 20, dipercayai mengandung anak kedua, berlindung di rumah ibunya di Kampung Rahmat Felda Chalok, Setiu.




  •  25 Julai 1997, Petaling Jaya — Akibat terlalu mengikut perasaan, seorang pekerja binaan berusia 33 tahun menerima padah apabila ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis selepas mendera isterinya di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara. Lelaki berkenaan enggan memberi wang diminta isteri untuk membeli beras dan keperluan dapur, sebaliknya menyepak serta menumbuk isterinya.


  •  9 Ogos 1996, Kampung Baru, Kuala Lumpur — Jamilah Hassan dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, membuat pengakuan mengalami tekanan jiwa berikutan sering didera suaminya yang kaki mabuk dan judi selama tujuh tahun. “Dia sering memukul dan mencaci saya selain memaksa saya melakukan hubungan seks,” katanya.



  •  21 Februari 1995, Pontian, Johor — Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan polis kerana disyaki mendera isterinya berusia 61 tahun sehingga mati di Kampung Belokok, Peradin. Siasatan polis mendapati lelaki itu dipercayai mencekik isterinya sebelum menolaknya sehingga jatuh di tangga rumah. Mangsa cedera teruk di kepala dan dada manakala leher dan mukanya lebam.




  •  2 Mac 1995, Klang — Polis menahan suami seorang pekerja kilang kerana dipercayai memukul isterinya hingga parah di rumahnya di Jalan Young, Pandamaran, Klang, Selangor. Isteri lelaki itu yang berusia 35 tahun luka pergelangan tangan kanannya dipercayai terkena benda tajam serta bengkak pada mata, belakang badan, pipi dan punggung.




  •  27 Disember 1995, Kuantan — Harapan seorang suri rumah untuk hidup bahagia bersama suami hingga ke akhir hayat punah apabila dia didera sehingga memaksanya meninggalkan rumah untuk mendapatkan pertolongan. Sarimah Suan, 17, cedera di dada dan perut dipercayai didera suami, terpaksa menahan sakit untuk pulang ke rumah bapanya di Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang.




  •  22 Ogos 1994, Hulu Klang — Wanita berusia 30-an dan isteri kedua seorang imam dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur oleh ibunya selepas tidak sedarkan diri dipercayai menghadapi tekanan jiwa berpunca daripada perbuatan suaminya.
    Wanita itu kemudian membuat satu laporan bahawa ada beberapa tanda kecederaan pada tubuhnya berpunca daripada penderaan.
  • No comments:

    Post a Comment