Friday, November 19, 2010

9,641 pesalah dadah ditangkap


KUALA TERENGGANU 18 Nov. - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu mencatatkan sejumlah 9,641 tangkapan bagi kes melibatkan pelbagai kesalahan dadah sejak awal Januari hingga bulan ini berbanding 8,427 tangkapan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, jumlah tersebut membuktikan kes dadah di negeri ini semakin meningkat ekoran jumlah tangkapan bertambah seramai 1,214 orang pada tahun ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 408 orang merupakan pengedar telah berjaya ditahan.
Terbaru, ujarnya, Operasi Tapis Bersepadu (Ops Tapis) dijalankan di seluruh daerah di negeri ini bermula 12 hingga 15 November lalu.
"Dalam tempoh hanya empat hari itu, seramai 476 orang berjaya ditangkap dengan pelbagai kesalahan dan ia jelas sekali membuktikan kegiatan dadah di negeri semakin serius.
"Justeru itu, dalam usaha untuk membanteras gejala tidak sihat ini, JSJN negeri akan menjalankan operasi secara berterusan dan bersepadu di semua daerah terutamanya pot-pot di pinggir bandar," katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.
Daripada jumlah pengedar tersebut, seramai 73 ditahan di bawah Seksyen 39 (B), 27 orang di bawah Seksyen 39 (A) dan 223 di bawah Seksyen 39 (A)(1) dan kesemuanya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1957 manakala selebihnya di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Mengulas lanjut, Roslan berkata, dengan penangkapan sejumlah pengedar itu, pihaknya yakin dapat membendung bekalan dadah di beberapa kawasan di negeri ini.
Beliau berkata, antara kawasan yang sering menjadi tumpuan kegiatan itu ialah di Manir, Hulu Terenganu, Marang, Dungun dan Kuala Terengganu.
"Kita harapkan orang ramai dapat membantu polis dengan menyalurkan maklumat tentang kegiatan ini walaupun sekecil manapun," katanya.

No comments:

Post a Comment