Friday, November 19, 2010

Dua beradik yatim dipelihara datuk



SHAHAR (kanan) menemani cucunya, Firdaus yang cedera di Kampung Guar Badak, Lenggong semalam. Gambar kecil, Fatihah masih dirawat di HRPB, Ipoh.


IPOH – “Selagi hidup, saya akan jaga cucu-cucu saya.” Itu kata Shahar Mohd. Ariffin, 61, datuk kepada dua adik-beradik, Firdaus Shaiful Fadzilah, 8, dan Fatiha, 4, yang menjadi yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa mereka terbunuh selepas sebuah kereta dirempuh treler di Slim River kelmarin.
Kedua-dua kanak-kanak itu akan tinggal bersama Shahar dan isterinya di Kampung Guar Badak, Lenggong.
“Saya dan ahli keluarga tidak sesekali akan membenarkan dua cucu saya itu dipelihara oleh orang lain selepas ibu bapa mereka meninggal dunia,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Shahar berkata, dia akan menguruskan pertukaran sekolah Firdaus yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Integrasi di Salak Tinggi, Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
“Saya mahu dia meneruskan tahun tiga persekolahan di Sekolah Kebangsaan Lenggong. Selagi hayat dikandung badan, saya akan memastikan dia dan adiknya mendapat pendidikan sewajarnya sehinggalah ke menara gading,” ujarnya.
Shahar berkata, Fatiha yang masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini akan didaftarkan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak berdekatan kediamannya.

No comments:

Post a Comment