Sunday, November 7, 2010

Demi cinta suami terkorban


NOR Faridah Mamat Amin ditenteramkan oleh keluarga ketika menunggu jenazah suaminya di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan, semalam. – BERNAMA


KUANTAN 6 Nov. – Demi cinta dan kasih sayang, seorang pemuda yang baru sebulan mendirikan rumah tangga sanggup menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan isterinya yang hampir lemas ketika berkelah di Sungai Jin di Pasir Kubur, Sungai Lembing di sini hari ini.
Namun malang tidak berbau, tindakan Mohd. Hazrul Abdul Jalil, 26, membawa padah apabila dia sendiri yang mati lemas dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Adik mangsa, Mohd. Helmi, 25, berkata, dia bersama mangsa, kakak iparnya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, dan ibunya, Zaidah Abdul Aziz, 55, berkelah di sungai tersebut sejak pukul 10.30 pagi.
Ketika kejadian, katanya, dia melihat abang bersama kakak iparnya sedang mandi di kawasan sungai yang dalam dan air agak deras.
“Tiba-tiba saya lihat abang dan kakak telah tenggelam timbul dipercayai terpijak pasir jerlus di kawasan itu.
“Abang saya cuba menyelamatkan kakak dengan menolaknya ke atas namun kedua-keduanya dihanyutkan oleh arus deras ke bahagian sungai yang agak cetek.
“Mujur ketika itu ada pemancing yang sedang memancing ikan lalu menghulurkan tali kepada kakak dan berjaya membawa naik kedua-dua mereka yang hanyut kira-kira 40 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Menurut Mohd. Helmi, ketika dinaikkan ke daratan, abangnya masih bernafas dan mereka sempat memberi bantuan kecemasan pernafasan (CPR).
Namun, katanya, kira-kira 10 minit kemudian nafas abangnya itu semakin perlahan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.
Mohd. Helmi menambah, pada malam sebelum kejadian, abangnya itu beria-ia mengajak mereka sekeluarga berkelah di kawasan perkelahan terbabit.
“Walaupun emak tidak benarkan pergi kerana cuaca tidak menentu tetapi abang tetap berkeras untuk pergi,” katanya.
Dia bagaimanapun percaya perubahan sikap abang sulungnya itu merupakan petanda terakhir bahawa dia akan pergi untuk selama-lamanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTAA untuk dibedah siasat dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment