Saturday, November 6, 2010

Kelulusan stesen minyak mini luar bandar dibekukan




2010/11/06

LANGKAWI: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan telah membekukan kelulusan bagi permohonan baru stesen minyak mini luar bandar di seluruh negara. 

Beliau berkata, kementerian telah menerima lebih 100 permohonan baru untuk membuka stesen berkenaan, namun tidak dapat diluluskan berikutan arahan membekukannya oleh Kabinet.Katanya, Kabinet mahu melihat terlebih dahulu kejayaan proses penjenamaan semula stesen minyak mini luar bandar sebelum mempertimbangkan permohonan baru.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap proses penjenamaan tersebut akan dipercepatkan serta berjalan lancar bagi membolehkan permohonan baru dipertimbangkan. 

"Kita memahami penjenamaan semula oleh pengusaha stesen memerlukan jumlah peruntukan yang banyak iaitu purata lebih daripada RM200,000," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan stesen minyak luar bandar Buraqoil di Temoyong hari ini. 

Ismail Sabri berkata, kementerian telah melancarkan program pembangunan dan penjenamaan semula stesen minyak mini luar bandar sejak dua tahun lalu dengan 2010 diisytihar sebagai tahun pembangunan penjenamaan. 

"Ini bagi mempertingkatkan aspek keselamatan produk petroleum di stesen mini luar bandar (di mana) pembangunan terancang yang memenuhi spesifikasi piawaian keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar disepadukan, supaya semua pihak memperoleh kesan positif," katanya. 
Pada masa ini, terdapat 332 stesen minyak mini luar bandar di seluruh negara di bawah beberapa syarikat, termasuk Syarikat Ikatan Pengedar Terus Bumiputra (IPTB) Sdn Bhd. 

Ketika berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata kerajaan mewujudkan stesen minyak mini di luar bandar bagi mempastikan rakyat menikmati harga jualan petrol dan diesel yang sama seperti di bandar. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment