Monday, November 15, 2010

Masalah setinggan belum selesai



TRONOH – Masalah 16 setinggan di Sri Kanthan di sini, masih belum dapat diselesaikan walaupun kawasan perumahan itu telah wujud lebih 30 tahun lalu yang terletak bersebelahan Kampung Tersusun Sri Kanthan, Mukim Belanja. 

Penduduk mendakwa mereka pernah membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik kekal tapak tanah perumahan secara kelompok sejak tahun 1998, namun sehingga kini tidak mendatangkan hasil. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, penduduk mengadu kepadanya dan menyatakan kekecewaan kerana tiada usaha murni daripada pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu. 

Menurutnya, penduduk juga mendakwa ramai pemimpin dari kalangan parti politik yang menaburkan janji manis bagi menyelesaikan masalah itu, namun ia sekadar angan-angan kosong. 

“Penduduk menyatakan ada individu tertentu hadir ke kampung ini dan menabur janji manis kepada penduduk tetapi ia hanya sekadar janji kosong pada pilihan raya dan bukannya niat untuk membantu rakyat. 

“Mereka sudah muak dengan segala janji pihak tertentu dan kini hanya mahukan perhatian serius Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah setinggan selain pihak pentadbir tanah turut membantu mempercepatkan proses pemberian tapak tanah,” katanya kepada :Sinar Harian. 

Sivakumar berkata, pada September 2001 dan Ogos 2003, pejabat menteri besar pernah mengeluarkan surat meminta pihak pentadbir tanah untuk mengambil tindakan berhubung permohonan tanah itu. 

“Penduduk menyatakan masalah ini sudah sampai ke pengetahuan pejabat menteri besar, namun apa yang peliknya masih tiada tindakan diambil. 

“Oleh itu, saya membuat satu soalan bertulis berhubung masalah setinggan ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 30 November 2010,” katanya. 

Beliau berkata, penduduk turut menyatakan Jawatankuasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tersusun Sri Kanthan, pernah membawa isu berkenaan kepada pengetahuan pemimpin politik kawasan berkenaan namun sehingga kini tiada perkembangan positif. 

“Penduduk yakin permohonan ini berada dalam perhatian Pejabat Tanah dan Galian, namun mengapa masih tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya. 

Katanya, walaupun terdapat surat sokongan daripada Ahli Parlimen Parit dan wakil rakyat lain sebelum ini, tetapi tiada sebarang jawapan atau tindaka serius daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta mengenai isu itu. 

"Diharap pihak Kerajaan Negeri akan lebih prihatin dan memenuhi aspirasi rakyat jika mereka benar-benar mendahulukan rakyat dan bukan sekadar slogan semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment