Monday, November 8, 2010

Patung gajah resahkan penduduk



Oleh Mohamed Farid Noh 
mfarid@bharian.com.my
2010/11/08

PATUNG gajah gergasi atas sebuah bangunan di Jalan Rahmat menimbulkan kebimbangan orang ramai.
PATUNG gajah gergasi atas sebuah bangunan di Jalan Rahmat menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Binaan empat meter dikhuatiri tumbang hempap orang ramai 

BATU PAHAT: Pembinaan patung gajah bersaiz besar di sebuah bangunan di Jalan Rahmat di sini sejak beberapa bulan lalu, menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang setiap hari menggunakan jalan berkenaan, menyebabkan mereka mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.Patung gajah setinggi kira-kira empat meter yang dibina di tingkat paling atas bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabat serta sebuah restoran itu, dikhuatiri menyebabkan mala petaka jika ia terjatuh dan menghempap pejalan kaki serta pengguna jalan raya lain.
Ini kerana bangunan berkenaan terletak di jalan utama serta paling sibuk di daerah ini berikutan kewujudan banyak pusat kewangan utama selain jabatan kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan pengguna, jika binaan gajah berkenaan tumbang ditiup ribut yang agak kerap melanda kebelakangan ini. 

Seorang suri rumah, Maimunah Sawal, 50, berkata penduduk hairan apabila pihak berkuasa meluluskan pembinaan patung berkenaan kerana ia jelas membahayakan penduduk serta pengguna jalan raya. 

“Tidak kira sekukuh mana pun patung itu disimen di atas bangunan itu, ia tetap membahayakan pengguna jalan raya kerana daerah ini dikenali dengan tiupan angin barat daya kuat yang datang dari arah Selat Melaka dan kami amat bimbang keselamatan terancam ketika menggunakan jalan berkenaan. 

“Apa akan terjadi kepada pejalan kaki atau kenderaan yang melalui jalan berkenaan jika struktur itu tumbang dan siapa mahu bertanggungjawab. Jadi, saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan meminta pemilik patung itu menurunkannya kerana ia jelas membahayakan keselamatan awam,” katanya baru-baru ini. 
Rakannya, Rohaimi Said, 42, berkata, kehadiran patung gajah itu bukan saja membahayakan pejalan kaki dan pengguna jalan raya di kawasan itu, malah boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. 

“Mungkin ada pemandu yang tiba-tiba memperlahankan kenderaan kerana ingin melihat patung itu dan ini boleh menyebabkan kesesakan, selain berlaku kemalangan. 

“Ia nampak remeh, tetapi pembinaan patung itu di kawasan berkenaan tidak kena pada tempatnya dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Salehuddin Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai pembinaan patung berkenaan dan sudah mengeluarkan notis kepada pemiliknya supaya ia diturunkan secepat mungkin. 

“MPBP tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk membina patung atau struktur besar itu dan selepas menerima aduan orang ramai mengenainya, kami melakukan siasatan. 

“Kami dapati, ia memang membahayakan keselamatan orang ramai dan bagi mengelak kejadian tidak diingini, kami sudah mengeluarkan notis kepada pemilik patung itu supaya diturunkan segera. 

“Pemilik patung gajah itu bersetuju berbuat demikian dan kini mereka menunggu kontraktor yang dilantik untuk melakukannya” katanya. 

No comments:

Post a Comment