Monday, November 8, 2010

Tangguh kes cerai Tuanku Ismail diragui


KOTA BHARU 7 Nov. - Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman (gambar) yang memfailkan kes berhubung lafaz cerai Sultan Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda, Elia Suhana Ahmad membuat laporan polis malam tadi berhubung penangguhan keputusan kes itu oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang didakwa sepatutnya diputuskan hari ini.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada pukul 11.20 malam tadi.
Wanita itu mendakwa, dengan penangguhan keputusan cerai itu dikhuatiri berlaku penyalahgunaan kuasa dan campur tangan pihak tertentu dalam urusan keputusan mahkamah tersebut berkaitan kes yang difailkan itu.
Menurutnya, beliau dimaklumkan mahkamah menangguhkan keputusan itu ke tarikh lain sehingga diberitahu kelak.
Dakwanya, beliau juga dimaklumkan oleh pihak Sultan Ismail Petra bahawa Hakim Syarie, Abdullah Man telah menghadap baginda bagi mendengar sendiri pengakuan baginda berhubung lafaz cerai itu di Istana Mahkota pada 30 Oktober lalu.
"Saya dimaklumkan oleh peguam syarie saya, Tetuan Zainul Talha & Amnir bahawa mereka telah menerima sepucuk surat dari Mahkamah Syariah Kelantan yang memaklumkan keputusan kes saya melawan Elia Suhana berkaitan dengan pengesahan cerai oleh Sultan Ismail telah ditetapkan pada hari ini.
"Bagaimanapun, peguam syarie saya memberitahu mereka menerima faks yang ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan pada 4 November lalu yang memaklumkan keputusan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan sehingga ke tarikh lain yang akan diberitahu kelak," dakwanya di sini hari ini.
Nik Rorhana mendakwa, peguam syarie beliau telah menghubungi seorang penolong pendaftar mahkamah itu untuk mengetahui punca keputusan kes tersebut ditangguhkan.
Pada masa yang sama dakwanya, peguam syarie beliau juga meragui surat penangguhan keputusan itu kerana dikeluarkan pada 4 November lalu yang merupakan hari cuti peristiwa di Kelantan.
Bagaimanapun dakwanya lagi, penolong pendaftar mahkamah itu menyatakan beliau tidak mengetahui tentang penangguhan itu dan meminta mereka hadir ke mahkamah pada hari ini.
"Pada 6 November lalu (semalam) yang juga hari cuti hujung minggu, peguam syarie saya menerima panggilan telefon dari mahkamah bahawa keputusan kes tersebut ditangguhkan atas arahan orang atasan.
"Saya amat musykil kerana penangguhan itu dibuat ketika mahkamah sedang bercuti dan tidak dinyatakan alasan kukuh," dakwanya.
Nik Rorhana memfailkan lafaz cerai Sultan Ismail terhadap Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 9 Mac lalu.
Sultan Ismail didakwa melafazkan cerai tersebut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment