Monday, November 22, 2010

Rumah arak diroboh



Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/11/22

 Kawasan  tiga ekar yang dipenuhi semak dan  bangunan usang  menjadi tempat maksiat.
Kawasan tiga ekar yang dipenuhi semak dan bangunan usang menjadi tempat maksiat.
Penduduk lega bangunan lama Pantai Teluk Lipat dimusnah 

DUNGUN: Warga bandar ini berasa lega apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak merobohkan dua bangunan usang berhampiran Pantai Teluk Lipat yang dijadikan tempat aktiviti tidak bermoral selain mencemar pandangan kawasan pelancongan di pantai itu.
Bangunan terbiar lebih 20 tahun itu dikenali penduduk dengan panggilan 'bangunan kebal' kerana tiada sebarang tindakan diambil walaupun diketahui umum ia tempat kegiatan tidak bermoral sejak sekian lama sehingga menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Dibangunkan sekitar tahun 60-an atas tanah seluas 1.2 hektar, bangunan itu pernah dijadikan kuarters jabatan kerajaan sebelum dibiarkan kosong sejak 20 tahun lalu sehingga Majlis Perbandaran Dungun (MPD) merobohkannya baru-baru ini. 

Tinjauan Edisi Timur sebelum ini mendapati sekitar kawasan bangunan itu semak dan gelap menjadikannya sebagai lokasi selamat kepada kaki botol melepaskan ketagihan alkohol selain tempat aktiviti maksiat pasangan kekasih gelap. 

Seorang peniaga kedai makan berhampiran bangunan itu, Shazali Mat Noor, 40, berkata kawasan bangunan itu yang penuh semak samun mencacatkan keindahan persekitaran pantai Teluk Lipat yang tersohor di kalangan pelancong tempatan dan luar. 

“Saya pernah beberapa kali terserempak dengan kumpulan anak muda sedang dalam keadaan mabuk dan berasmara dengan pasangan masing-masing di kawasan berkenaan," katanya. 
Seorang pengunjung, Borhan Harun, 54, berkata beliau difahamkan MPD bercadang membangun sebuah dataran pelancongan bagi mengubah persekitaran bangunan usang itu sekali gus menaikkan lagi imej Pantai Teluk Lipat yang sudah terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negeri. 

"Langkah itu tepat pada masanya kerana boleh menarik lebih ramai pengunjung ke pantai ini kerana kedudukannya hanya lima minit perjalanan dari bandar Dungun," katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua MPD, Zainal Abidin Hussin, berkata dua bangunan terbiar itu adalah milik Kerajaan Pusat, manakala tapak bangunan seluas 1.2 hektar miliki kerajaan negeri. 

Katanya, pihaknya merobohkan bangunan usang itu bagi membolehkan kawasan tanah tapak bangunan itu seluas 1.2 hektar dimajukan dengan projek pembinaan dataran pelancongan yang dikenali Dataran Teluk Lipat mengikut Pelan Induk Landskap MPD. 

“Dataran itu akan dilengkapi dengan kiosk untuk disewa kepada peniaga, kemudahan pelancongan termasuk ruang tempat letak bas yang dapat memuatkan 10 bas pelancongan di samping kemudahan asas lain untuk pelancong," katanya.

No comments:

Post a Comment