Monday, November 22, 2010

Tak selamat



Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Penduduk Taman Klebang Damai bimbang kawasan jadi tumpuan jenayah 

IPOH: Seramai 142 penduduk di Taman Klebang Damai, dekat sini, bimbang apabila kawasan perumahan mereka menjadi tumpuan kegiatan jenayah termasuk pecah rumah dan samun.
Masalah itu bukan perkara baru yang dihadapi oleh penduduk perumahan berkenaan, malah sebelum mereka berpindah, kecurian sudah berlaku membabitkan kira-kira 60 unit meter air yang ditempatkan di luar pagar kediaman.
Malah, hampir kesemua penutup besi saliran bawah tanah turut dicuri dan meninggalkan lubang yang membahayakan penunggang motosikal. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan kediaman mendapati kerja pemasangan penutup saliran sedang giat dijalankan. 

Penduduk mendakwa ada laluan khas atau jalan tikus, iaitu jalan tanah merah melalu ladang kelapa sawit berhampiran kawasan perumahan itu bagi penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka. 

Presiden Persatuan Penduduk Taman Klebang Damai, Burhannuddin Zainal, 40, berkata masalah itu berpunca daripada ketiadaan pagar bagi menghalang jalan tikus. 
“Sebelum kami berpindah ke sini, pemaju menjanjikan untuk membina pagar di sekeliling kawasan perumahan ini untuk keselamatan selain menyediakan pengawal keselamatan untuk keselesaan penduduk. 

“Namun, selepas lebih setahun janji itu ternyata palsu dan sistem keselamatan yang disediakan oleh pemaju seperti melepaskan batuk di tangga saja,” katanya kepada Berita Harian, di sini, baru-baru ini. 

Burhannuddin berkata, kerjasama daripada pasukan polis amat baik kerana sejak dilaporkan berhubung kejadian kecurian, mereka sering melakukan rondaan di sekitar kawasan perumahan. 

Beliau berkata, masalah itu masih tidak akan selesai jika hanya bergantung kepada rondaan polis saja sedangkan sistem keselamatan termasuk pagar yang sepatutnya disediakan oleh pemaju tidak dipenuhi. 

Seorang mangsa kecurian di kawasan perumahan itu, Lokman Idris, 36, berkata rumahnya dipecah masuk beberapa bulan yang lalu menyebabkan kerugian lebih RM6,000. 

Kejadian itu berlaku sewaktu beliau dan keluarga pulang bercuti di kampung. 

“Pencuri itu masuk ke rumah saya melalui tingkap di sebelah depan rumah dan turut mengumpil gril tingkap. 

“Barang yang dicuri termasuk barang kemas, tabung wang anak dan beberapa lagi barang lain,” katanya. 

Beliau yang juga kakitangan swasta berharap agar pemaju segera membina pagar di sekeliling kawasan perumahan itu untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

No comments:

Post a Comment