Tuesday, November 9, 2010

Sehidup semati



GERIK – Sepasang warga emas, di sini meninggal dunia pada hari sama kerana sakit tua di rumah anak sulung mereka, Mohd Rosdi Abdul Rashid, 56, di Kampung Pahat, semalam. 

Kelsom Dibong, 80, meninggal dunia pada jam 1.20 pagi, semalam diikuti suaminya, Abd Rashid Sasu, 86, kira-kira satu jam kemudian iaitu pada jam 2.30 pagi. 

Rosdi berkata, dia bersyukur kerana pemergian kedua orang tuanya dalam keadaan penuh ketenangan. 

Menurutnya, ayah dan ibunya berasal dari Kampung Padang Kunyit. 

“Sepanjang hayat mereka, kedua-duanya memang pasangan bahagia dan cukup mesra serta disayangi semua sanak saudara di sekitar Gerik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pahat, semalam. 

Rosdi berkata, sebelum itu, ayahnya dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Selasa minggu lalu kerana koma apabila diserang sakit tua sementara ibunya tinggal bersamanya. 

Katanya, ibu bapanya tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius. 

“Ayah adalah seorang bekas angkatan tentera yang berkhidmat dengan Royal British Army semasa pendudukan Jepun dahulu dan bertugas sebagai anggota Konstabel Khas di bawah unit ‘Jungle Squad’ dan ‘Home Guard’. 

“Tidak ada sebarang keganjilan yang ditunjukkan oleh ayah dan ibu sebelum meninggal dunia, namun ibu memang ada berseloroh kepada sanak saudara bahawa dia dan ayah akan sehidup semati,” katanya. 

Rosdi berkata, adik beradiknya dan sanak saudara juga sempat mengadakan dua kali majlis bacaan Yasin sebelum ibu bapanya meninggal dunia. 

“Kami adakan majlis bacaan Yasin sebaik sahaja ayah dibawa pulang ke rumah ini dan pada masa itu, ibu juga berada dalam keadaan tidak sihat. 

“Pada awalnya, kami sangka ayah akan pergi terlebih dahulu, namun sebaliknya ibu yang menghembuskan nafas terakhir sebaik selesai majlis bacaan Yasin kali kedua,” katanya. 

Pasangan yang meninggalkan lima anak, 29 cucu dan enam cicit disemadikan dalam satu kubur dengan dua luang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pahat pada jam 1 petang, semalam. 

Hadir sama bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali bersama Pegawai Khas ADUN Temengor, Yunus Kanan bagi mewakili Datuk Hasbullah Osman.

No comments:

Post a Comment