Tuesday, November 9, 2010

Tiga ditawar pertuduhan pilihan


SALAH sebuah bangunan yang terdapat dalam kawasan PKFZ.


SHAH ALAM - Tiga individu yang menghadapi pertuduhan membabitkan jumlah berjuta-juta ringgit dalam projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semalam ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan asal mereka.
Bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) Law Jenn Dong, 52; arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect dan Ketua Pegawai Operasi KDSB, Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd. untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.
Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK, Ampang, antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 29 tahun dan sebatan serta denda.
Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk sistem 33kv bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.
Jenn Dong, Abok dan Seng Swee juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ bernilai RM116.85 juta telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.
Selain itu, Abok dan Seng Swee juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan dan justeru mereka telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM5.42 juta.

No comments:

Post a Comment