Saturday, November 20, 2010

Zaid pilih 16 Dis. keluar parti





PETALING JAYA 19 Nov. – Setelah menerima tekanan dan serangan peribadi bertubi-tubi daripada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim akhirnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa 16 Disember ini.
Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang juga calon Timbalan Presiden parti itu menegaskan beliau berbuat demikian selepas hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti pembangkang tersebut.
Ditanya kenapa 16 Disember menjadi tarikh pilihannya untuk keluar parti, menurut Zaid, ia tidak mempunyai sebarang signifikan namun dipilih hanya kerana beliau sukakannya sama seperti Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyukai tarikh tertentu.
“Mengapa 16 Disember? Saya suka 16 Disember sama macam Anwar suka 16 September. Tiada sebarang signifikan.
“Bezanya, beliau berjanji ramai ahli Parlimen kerajaan akan menyertai pembangkang sedangkan saya hanya mengumumkan untuk keluar parti.
“Surat mengenainya telah saya hantar ke ibu pejabat parti pagi ini,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Tropicana Golf & Country Resort.
Menurut Zaid, fitnah, putar-belit serta cerita rekaan oleh para pemimpin kanan PKR telah memaksanya untuk keluar daripada parti tersebut.
Jelasnya, beliau tidak rela bekerjasama dengan pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti dilakukan terhadap dirinya.
“Timbalan Presiden, Dr. Syed Hussin Ali dan Azmin Ali kata saya mempunyai niat jahat menggugat kepimpinan parti sejak dari awal. Anwar pula menggelarkan saya ‘kuda trojan dan ‘sore loser’.
“Sukar untuk saya terus berada dalam parti yang mana pemimpin-pemimpinnya anggap saya sebagai ‘orang jahat’. Justeru, saya rasa eloklah keluar parti,” katanya.
Zaid optimis, tindakan para pemimpin PKR itu tidak akan berjaya kerana mendakwa masih ramai yang percaya dan yakin dengan perjuangannya.
“Inilah cara mereka yang tidak ada keyakinan diri. Mereka suka menjatuhkan orang lain dengan harapan dapat digambarkan sebagai pemimpin sebenar,” katanya.
Mengenai keputusannya itu, beliau tidak mahu menganggarkan berapa ramai penyokongnya yang akan turut mengambil jejak sama meninggalkan PKR.
“Kalau saya kata ramai nanti orang kata bohong. Tetapi saya percaya ramai juga... Apa pun, PKR bukanlah mempunyai ramai ahli sangat walaupun katanya ada 400,000.
“Buktinya, ahli yang datang mesyuarat tidak sampai 20,000 pun. PKR adalah parti yang omong dan gempurnya besar. Jadi, saya tidak bimbang,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan tetap mengambil bahagian pada pilihan raya umum akan datang meskipun terpaksa bertanding atas tiket Bebas.
Bagaimanapun tegasnya, beliau sedang berusaha menubuhkan parti baru yang mampu memberi pilihan baru kepada rakyat Malaysia.
“Saya akan bekerja dengan penyokong bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya. Ia sebagai pilihan kepada rakyat. Sesiapa yang mahu terus berhalusinasi dan bermimpi dengan Anwar, mereka boleh teruskan. Tiada masalah.
“Tetapi sesiapa yang mahu lihat politik sebenar berteraskan polisi substantif dan tidak hanya mempergunakan orang lain seperti beliau boleh memilih parti saya,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih banyak mengenai parti barunya itu serta ideologi yang akan dibawa.
“Saya mahu parti yang benar-benar demokratik dan tidak banyak kerenah. Parti yang berteraskan isu kebenaran serta tidak berpihak tetapi berkawan dengan semua tanpa mengira pembangkang atau kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment