Friday, December 24, 2010

Jamu selera dalam kelambu



PADANG KERASAK - Kebanyakan rumah penduduk kampung di sini terpaksa berdepan masalah gangguan lalat sejak empat tahun lalu yang difahamkan berpunca dari ladang ayam berdekatan.

Penduduk, Saiful Nadzwan Saad berkata, sebelum ini masalah berkenaan sudah beberapa kali dikeluarkan akhbar, tetapi tiada sebarang tindakan diambil untuk menangani masalah itu.

Menurutnya, sebelum ini hanya satu sahaja ladang ayam beroperasi di sekitar kampung itu, namun mula bertambah kepada tiga sejak dua tahun lalu menyebabkan penduduk menghadapi gangguan lalat pada siang dan malam.

“Setiap hari ruang rumah terutamanya pada bahagian dapur dipenuhi lalat menyebabkan rasa tidak selesa. Lalat dari ladang ayam itu juga jinak sehingga orang pun turut dihurung,” katanya kepada Sinar Harian.

Saiful berkata, setiap kali adanya majlis kenduri yang dianjurkan, penduduk kampung terpaksa berdepan masalah tersebut sehingga ada dalam kalangan tetamu pada majlis kenduri terpaksa menjamu selera dalam kelambu, bagi mengelakkan gangguan lalat ketika makan.

“Kami malu pada orang luar yang datang ke sini terutamanya pada musim kenduri, kerana terpaksa berperang dengan lalat ketika hendak makan,” katanya.

Penduduk kampung, Esah Ali berkata, gangguan lalat berkenaan turut dihadapi ketika waktu malam dan kadang-kala mengganggu waktu tidur.

“Kami tidak tahan dengan lalat yang banyak begini. Waktu malam terpaksa tutup lampu dan ada ahli keluarga saya terpaksa menyumbat kapas di telinga dan selubung kerana bimbang lalat akan masuk telinga” katanya.

No comments:

Post a Comment