Friday, December 24, 2010

Kelantan peruntuk RM300 ribu anjur nikah perdana

Salmah Mat Husain 
KOTA BHARU, 22 Dis: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menganjurkan program perkahwinan perdana yang julung kali diadakan di Kelantan pada 25 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program berkenaan berkenaan diadakan lebih berbentuk kebajikan bagi membantu golongan belia dan beliawanis berkahwin.

“Peruntukan itu termasuk membiayai mas kahwin, jamuan dan peralatan perkahwinan.

”Seramai 100 pasangan akan mengambil bahagian pada program itu yang akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya di sini.

Menurutnya, mas kahwin sebanyak RM1,000 disediakan kepada pasangan terbabit.

Katanya juga pasangan orang kelainan upaya (OKU) turut mengambil bahagian.

“Kita juga berusaha mendapatkan Emas Dinar sebagai sebahagian dari mas kahwin pada majlis berkenaan,” katanya.

Wan Ubaidah berkata, program berkenaan diadakan bertujuan memberi galakan kepada golongan muda berkahwin bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala kurang sihat.

Menurutnya mas kahwin sebanyak RM1,000 dicadangkan Menteri Besar supaya umat Islam mendapat keberkatan.

“Jangan menyusahkan soal perkahwinan kerana mas kahwin yang terlalu tinggi boleh mengundang gejala tidak sihat,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan pengantin lelaki akan berkumpul di Masjid Muhammadi bermula jam 7 pagi. Kemudian mereka akan diiringi perarakan motosikal klasik dan Persatuan Kereta Viva Kelantan ke Putik.

Manakala pengantin perempuan akan menunggu pasangan masing-masing di Putik. Majlis akad nikah akan disempurnakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment