Thursday, January 27, 2011

8,000 pelajar Malaysia di Mesir selamat



Oleh Shaarani Ismail dan Haspaizi Mohd Zain

2011/01/27

MSD sentiasa berhubung maklumkan perkembangan terkini kekacauan politik di Kaherah

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir dilaporkan selamat meskipun berlaku protes besar-besar membabitkan lebih 10,000 orang di Kaherah dan beberapa wilayah negara itu bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur. 

Kebanyakan pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan dan sebahagian lagi masih bercuti boleh bergerak bebas di kampus dan kediaman masing-masing.
Mereka juga sentiasa dimaklumkan berhubung tahap keselamatan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dari semasa ke semasa.
Seorang penuntut Malaysia di Kaherah, Muhammad Iqbal Arifin ketika dihubungi berkata, selepas protes besar-besaran itu berlaku, MSD sentiasa memaklumkan perkembangan terkini dan menasihati pelajar untuk menjauhi kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi protes. 

“Kebetulan pula ketika ini adalah musim akhir peperiksaan bagi sebahagian pelajar sebelum bercuti rehat akhir semester. Setakat ini, kami tidak berhadapan sebarang masalah untuk membeli barangan keperluan, cuma kami dinasihatkan supaya berwaspada dan berjaga-jaga berikutan keadaan kawalan keselamatan yang agak ketat,” katanya yang juga penuntut tahun dua kursus Pergigian Universiti Al-Azhar. 

Pelajar tahun tiga kursus Perubatan Universiti Kaherah, Najla' Shakirah Ab Halim, berkata ketika ini kebanyakan pelajar pada minggu akhir peperiksaan dan mereka dinasihatkan untuk bergerak dalam kumpulan untuk ke universiti. 

“Keadaan secara umumnya masih terkawal, cuma kami terutama penuntut wanita dinasihati untuk menjauhkan diri dari lokasi protes bagi mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya. 
Difahamkan ketika ini terdapat kira-kira 8,000 penuntut Malaysia mengikuti pengajian pelbagai bidang di Mesir meliputi bahasa Arab, Pengajian Islam, Perubatan dan Pergigian. 

Sementara itu, Pengerusi Pelajar Perubatan Iskandariah, Abdul Rahim Suhaini, berkata kira-kira 1,200 pelajar Malaysia yang menuntut di situ tidak berdepan dengan ancaman keselamatan. 

No comments:

Post a Comment