Thursday, January 27, 2011

Penderitaan 35 tahun berakhir



DUNGUN - Apa tidaknya, masalah banjir yang menjadi rintihan penduduk Bukit Chatak sejak lebih suku dekad itu kini berakhir sekelip mata apabila longkang berukuran kira-kira 60 meter panjang dan satu meter lebar, bagi mengatasi masalah perparitan tidak sempurna itu disiapkan dalam masa kira-kira seminggu hasil inisiatif Pejabat Daerah Dungun.

Wakil penduduk, S Mohd Shamsuddin Ibrahim, 50, berkata, berita gembira itu sudah menjadi buah mulut penduduk tempatan, kerana segala penderitaan dihadapi sejak sekian lama akhirnya berjaya diselesaikan.

Menurutnya, lebih menggembirakan, masalah itu yang difahamkan menjadi isu hangat sebelum ini berjaya diselesaikan dalam tempoh sekejap tanpa melibatkan banyak karenah birokrasi.

“Kami sudah lama menderita bergelumang dengan banjir. Namun, segala-galanya berakhir sejak masalah kami disiarkan dalam akhbar ini sehingga mendapat perhatian Pegawai Daerah, Mustofa Abdul Rahman yang bertindak cepat menyelesaikan kerumitan.

“Sebagai penduduk dan mangsa terlibat, tiada kata-kata yang boleh diucapkan untuk menggambarkan perasaan terharu kami. Belum pernah ada insan lain yang sanggup menolong kami sehingga sejauh ini. Terima kasih,” katanya.

Bagi warga emas, Wan Khalid Muda, 62, tiada apa yang dapat dilahirkan dari hati nuraninya selain memanjat kesyukuran kepada Ilahi selepas 25 tahun hidup menderita berlantaikan air lumpur banjir itu.

“Pakcik sentiasa bertanya, bila semua ini akan berakhir? Setelah puas bermandikan air mata, pakcik rasa seperti ada sinar baru menyuluh kegelapan selama ini. Sekurang-kurangnya sebelum tutup mata, pakcik dapat melihat kawasan rumah kering. Tidak lagi ditakung air seperti yang dilalui sejak puluhan tahun lalu.

“Kepada pihak yang banyak menolong kami, sebagai warga daif, tiada apa dapat diberikan selain memohon doa ke hadrat Ilahi agar mereka mendapat ganjaran setimpal di akhirat nanti,” katanya.

Masalah banjir kilat yang menghantui lebih 20 keluarga di Kampung Bukit Chatak sejak lebih 30 tahun lalu dipercayai berpunca daripada sistem perparitan tidak sempurna, mendesak penduduk setempat menghantar memorandum kepada pihak berkenaan.

Sinar Harian sebagai akhbar komuniti turut membuat liputan meluas berkaitan isu ini.

Berikutan memorandum yang dihantar penduduk, Mustofa akhirnya turun padang melakukan siasatan sebelum projek pembinaan longkang berharga kira-kira RM30,000 diluluskan segera bagi mengatasi kerumitan terbabit dan ia berjaya disiapkan dalam masa hanya beberapa hari.

No comments:

Post a Comment