Saturday, February 26, 2011

Pelajar boleh pulang ke Mesir




PELAJAR Malaysia yang baru pulang ke tanah air pada awal Februari lalu perlu bersedia untuk kembali ke Mesir mulai 12 Mac ini.


KUALA LUMPUR – Penuntut Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti di Mesir dan terpaksa pulang ke tanah air ekoran pergolakan politik di negara itu baru-baru ini boleh kembali ke negara tersebut untuk menyambung pengajian masing-masing mulai 12 Mac ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dicapai hasil pertemuan pasukan khas negara dengan universiti-universiti di negara itu sejak Ahad lepas hingga semalam bagi menentukan tarikh untuk memulakan pengajian.
“Penuntut bagaimanapun diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara mengenai kepastian tahap keselamatan di Mesir sebelum kembali ke negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Mohamed Khaled, hasil pertemuan dengan pihak universiti di negara itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Universiti Kaherah akan memulakan semula pengajian perubatan peringkat pengajian praklinikal dan klinikal pada 12 Mac ini.
“Begitu juga dengan Universiti Al-Azhar yang turut memulakan pengajian program pergigian pradental pada hari yang sama,” katanya.
Bagi program perubatan di semua peringkat pengajian di Universiti Al-Azhar pula akan bermula pada 15 Mac manakala penuntut program Pengajian Islam perlu mendaftar semula selewat-lewatnya pada 8 April.
Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment