Friday, February 25, 2011

Calon terbaik Pas

TEMERLOH - Hasanuddin Salim, 43, dipilih mewakili Pas bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Pengumuman dibuat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Pas Pahang di sini malam tadi.

Hasanuddin yang berasal dari Kampung Loyang di sini bakal berhadapan dengan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu nanti.

Ini merupakan kali kedua Hasanuddin bertanding kerana beliau pernah dicalonkan pada pilihan raya umum yang lalu, tetapi tidak berjaya.

Beliau berkelulusan diploma ukur UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin yang berpengalaman dalam bidang Pembangunan dan ukur selama 15 tahun pernah terlibat dalam industri tersebut di luar negara.

Dalam politik, Hasanuddin kini adalah Ketua Penerangan Pas Pahang dan memegang beberapa jawatan lain dalam parti.

Manakala di MERLIMAU pula, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon mewakili parti itu bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada pilihan raya kecil, 6 Mac ini.

Pengumuman dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 4,000 penyokong di Kampung Merlimau Pasir, malam tadi.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad merupakan lulusan Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (Ilham), Selangor dan mempunyai Sijil Kemahiran Mara serta Kejuruteraan Mekanikal.

Terlibat dalam bidang politik sepenuh masa dan beliau merupakan anak watan Merlimau.
Pengalaman luas dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B dan Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia.
SH

No comments:

Post a Comment