Tuesday, February 15, 2011

Sakit halang cita-cita

Oleh Sahlina Sahkirin
bhjb@bharian.com.my
2011/02/15

MOHAMAD NORAZIM terpaksa bergantung kepada kerusi roda.
MOHAMAD NORAZIM terpaksa bergantung kepada kerusi roda.
Pelajar cemerlang rayu bantu ubati derita penyakit saraf

MERSING: Harapan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terpaksa dilupakan seorang pelajar cemerlang di FELDA Tenggaroh 5, dekat sini, berikutan masalah kesihatan yang semakin meruncing.
Mohamad Norazim Ngadiran, 21, disahkan menghidap penyakit saraf sejak berumur 12 tahun dan tidak menampakkan tanda akan pulih sebaliknya beliau kini hanya boleh bergerak menggunakan kereta roda saja.
Katanya, penyakit berkenaan dikesan sejak beliau berada di sekolah rendah lagi dan pelbagai usaha dilakukan untuk mengubatinya sama ada secara moden atau tradisional.

Norazim berkata, selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelbagai tawaran diterima untuknya menyambung pelajaran namun terpaksa ditolak.

“Saya tidak boleh berjalan seperti orang lain kerana badan saya amat lemah dan tidak bertenaga. Oleh itu, saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana.

“Saya mengambil aliran subjek sains tulen ketika SPM dulu dan mendapat 5A. Banyak tawaran belajar saya terima seperti ke matrikulasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan banyak lagi namun saya terpaksa menolak disebabkan saya sakit,” katanya.
Norazim berkata, ketika di sekolah rendah beliau terpaksa ke sekolah dihantar dan diambil oleh ayahnya, Ngadiran Panitan yang juga peneroka.

“Dulu ayah saya yang hantar dan mengambil saya di sekolah kerana saya tidak boleh berjalan seperti orang lain. Kadang-kadang saya tidak dapat terima keadaan ini kerana pada awalnya saya dilahirkan normal seperti orang lain,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Beliau mengakui sering kecewa dan hampa apabila melihat rakan sekolahnya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk ke menara gading.

“Cita-cita saya ingin menjadi arkitek namun tidak kesampaian. Sehingga kini, saya masih lagi mengharap kesihatan pulih seperti biasa walaupun pada hakikatnya ia sukar.

“Saya teringin mencapai cita-cita saya dan membantu keluarga, ” katanya.
Sementara itu, ibu Norizam, Junainah Sakar, 57, berkata pelbagai ikhtiar sudah dilakukan untuk memulihkan sakit anak lelakinya itu.

“Sejak beliau sakit saraf, saya dan suami berusaha keras untuk berubat. Pernah juga membawanya ke pakar saraf namun tidak berhasil, ada juga berubat secara tradisional namun sama juga,” katanya.

Katanya, anaknya itu terpaksa bergantung kepada makanan tambahan seperti vitamin untuk membolehkannya bergerak.

“Biasanya beliau akan makan pil vitamin bagi membolehkan beliau bangun dan bergerak walaupun dengan menggunakan kerusi roda. Jika tidak makan pil berkenaan badan beliau akan lemah dan tidak bermaya,” katanya.

Justeru beliau merayu kepada orang ramai yang boleh mengubati anaknya supaya dapat menghulurkan bantuan dengan menghubunginya di alamat No 18, Felda Tenggaroh 5, 86810 Mersing, Johor.
Berita Harian Online | Johor: Sakit halang cita-cita

No comments:

Post a Comment