Friday, February 25, 2011

Tentera Gaddafi bedil masjid



PENUNJUK perasaan antikerajaan berdiri di atas kereta kebal sambil mengangkat senjata meraikan kejayaan mereka menawan bandar Shahat di timur Libya, semalam. - REUTERS


BENGHAZI 24 Feb. - Tentera Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi hari ini membedil menara sebuah masjid dengan peluru berpandu antipesawat udara dan senjata automatik selepas berpuluh-puluh penunjuk perasaan antikerajaan enggan meninggalkan kawasan masjid itu.

Ramai penunjuk perasaan yang berkhemah di dalam dan luar masjid itu terbunuh atau cedera dalam serangan ke atas bandar Zawiya, 50 kilometer ke barat Tripoli, menurut seorang saksi yang tidak dapat menyatakan angka sebenar.

Tentera dan militia yang pro-Gaddafi bertindak balas dengan ganas apabila pemimpin veteran itu menyaksikan cengkamannya semakin longgar, selepas Zawiya dan bandar serta pekan lain yang dekat dengan ibu negara jatuh ke tangan pemberontak.

Setelah hampir seluruh bahagian timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan, mereka berikrar pula untuk 'membebaskan' Tripoli, di mana Gaddafi bertahan dengan pasukan militia meronda di jalan raya dan kereta kebal berkawal di pinggir ibu negara.

Saksi berkata, serangan ke atas masjid itu berlaku pada 9 pagi ini (3 petang waktu Malaysia), sehari selepas seorang pegawai Gaddafi bernama Abdullah Megrahi datang ke Zawiya dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya 'beredar atau mereka akan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai'.

"Kami memberitahunya kami tidak akan berganjak, sama ada kami mati atau mencapai kemenangan," kata saksi itu.

Pihak berkuasa sebelum itu menggesa penunjuk perasaan menyerahkan senjata mereka dan menawarkan hadiah wang tunai kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat mengenai para pemimpin protes.

Sementara itu, Gaddafi semakin hilang penguasaan ke atas beberapa wilayah hari ini selepas kawasan yang terlepas daripada kawalannya semakin meluas di sebelah timur negara ini termasuk beberapa bandar berhampiran ibu negara Tripoli.

Terdapat empat lokasi strategik yang akan menjadi kunci penentu sama ada Gaddafi mampu terus bertahan atau sebaliknya iaitu ibu negara Tripoli, bandar padang pasir tempat kelahiran Gaddafi di Sirte di sebelah timur dan terminal minyak di Teluk Sirte di Ras Lanuf serta bandar Marsa el-Brega .

Bandar, Benghazi tempat bermula pemberontakan sejak lapan hari lalu telah jatuh ke tangan penunjuk perasaan antikerajaan.

''Kita tahu...Benghazi pada dasarnya telah mengisytiharkan merdeka daripada Tripoli,'' kata penaganalisis Peter Zeihan yang berpangkalan di Stratfor Amerika Syarikat.

Satu laporan dalam Facebook menyatakan berlaku pertempuran di Garyan kira-kira 100 kilometer di sebelah selatan Tripoli.

Wartawan asing melaporkan sukar untuk mendapatkan pengesahan apa yang sebenarnya sedang berlaku di Libya sekarang. - AP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment