Tuesday, March 15, 2011

9,575 kes rogol bawah umur direkod 2005 hingga 2010




KUALA LUMPUR - Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, statistik direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes melibatkan mangsa bawah umur lebih tinggi untuk tempoh 2000 hingga 2010, berbanding kes melibatkan mangsa bukan bawah umur.

“Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur untuk tempoh 2000 hingga 2004,” katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di sini, semalam.

Dr Fong ingin mengetahui jumlah kes rogol di bawah umur berlaku sejak 2000 dan tindakan diambil kementerian menangani gejala itu.

Abu Seman berkata, kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol terutama kes melibatkan golongan bawah umur.

Menurutnya, antara langkah diambil PDRM, memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika memerlukan perlindungan.

“Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan,” katanya. - Bernama
SH

No comments:

Post a Comment