Sunday, March 27, 2011

Pemuda terkilan terlepas bas



ALOR SETAR - Seorang pemuda dari Terengganu terkilan dengan pengurusan kaunter jualan tiket bas di Sungai Petani yang menyebabkannya rugi lebih RM40 kerana terlepas bas ekspres yang sepatut dinaikinya.

Pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Azmi, 26, berkata, pada 20 Mac lalu, dia membeli tiket untuk pulang ke Kuala Terengganu pada hari yang sama di sebuah kaunter tiket di Sungai Petani.

“Saya datang ke Kedah atas urusan keluarga dan perlu pulang segera ke Terengganu kerana perlu bekerja keesokan harinya, dan mendapatkan satu tiket berharga RM42.30 untuk perjalanan pada jam 10.30 pagi, hari itu.

“Saya dimaklumkan penjaga kaunter terbabit bahawa bas tidak akan masuk ke dalam kawasan letak kenderaan sebaliknya hanya mengambil penumpang di luar kawasan itu iaitu berhampiran jalan utama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, memandangkan masih awal iaitu belum 10 pagi, dia bersama kenalan minum di gerai berhampiran stesen bas ekspres itu sebelum menunggu bas di kerusi yang terdapat di stesen bas terbabit dan jam pada waktu itu belum pun 10.30 pagi.

“Malangnya, tiada siapa dari kaunter itu yang memaklumkan bahawa bas sudah ada dan saya hanya menyedarinya apabila melihat bas yang sepatutnya saya naiki, mula bergerak menuju ke jalan utama.

“Saya dan rakan cuba mengejar, malangnya mungkin pemandu bas itu tidak perasan, dan penjaga kaunter itu juga dilihat cuba menelefon pemandu bas namun gagal,” katanya.

Azmi berkata, dia kesal apabila penjaga kaunter itu enggan bertanggungjawab sebaliknya asyik menyalahkannya.

“Ini kali pertama saya menaiki bas di sini, sudahlah dimaklumkan bahawa bas hanya mengambil penumpang di luar stesen, apabila sudah jadi begini, mereka enggan membayar balik wang tiket saya ataupun berusaha mencari bas ganti kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menghubungi penjaga kaunter bas berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan pemuda itu.

Menurutnya, sewaktu pemuda itu membeli tiket di kaunter, dia sudah memaklumkan supaya pemuda itu berada di hadapan kaunter pada 10.15 pagi.

“Malah, sebaik bas tiba kami memanggil penumpang yang seharusnya menaiki bas itu dan kira-kira jam 10.35 baru kelihatan dia bersama kawannya berjalan ke arah kaunter.

“Sepatutnya 10 penumpang naik bas itu dan sembilan orang sudah pun naik melainkan dia.

“Jadi tidak ada sebab mengapa kami perlu membayar ganti rugi kepadanya, kalau kami gantikan dengan tiket baru pun dia masih perlu bayar untuk tiket baru itu, tetapi pada hari itu tiket perjalanan ke Kuala Terengganu sudah habis,” katanya.

No comments:

Post a Comment