Tuesday, April 26, 2011

Cubaan bunuh Gaddafi


TRIPOLI: Tentera Nato memusnahkan beberapa bangunan dalam kompleks Bab al-Aziziyah yang menjadi tempat perlindungan Muammar Gaddafi, semalam.
Ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran ekoran serangan itu, pegawai Gaddafi berkata, serangan berkenaan menunjukkan Nato cuba membunuh pemimpin Libya terbabit.

Pegawai Libya turut membawa wartawan asing melawat kawasan berkenaan untuk menunjukkan kesan serangan Nato.

Kompleks Bab al-Aziziyah itu menempatkan pelbagai pejabat utama kerajaan serta menjadi lokasi pertemuan Gaddafi dengan tetamu kehormat dari negara asing.

Pegawai media Gaddafi berkata, 45 orang cedera dalam serangan itu dan 15 daripadanya parah, manakala beberapa orang lagi masih hilang.

Bagaimanapun, kesahihan data itu tidak diperoleh kerana pegawai lain memberikan angka berbeza.


Kawasan itu pernah diserang sebelum ini tetapi Nato dilihat meningkatkan tumpuan ke Tripoli sejak beberapa hari lalu.

Sebuah kawasan didakwa kerajaan sebagai tempat meletak kenderaan adalah antara sasaran Nato, tetapi hasil serangan membuktikan kawasan berkenaan sebenarnya menempatkan sebuah kubu bawah tanah.
Baru-baru ini, AS mengumumkan rancangan menghantar pesawat tanpa juruterbang - digelar sebagai Predator - untuk membantu mengekang pergerakan tentera Gaddafi menentang pemberontak.

Predator melepaskan peluru pertamanya kelmarin.

Tidak dapat dipastikan sama ada serangan ke atas Bab al-Aziziyah semalam juga dilakukan Predator.

Serangan itu berlaku pada malam sama selepas Setiausaha Luar Britain, William Hague, membayangkan pesawat berkenaan mungkin digunakan untuk membunuh Gaddafi.

Ditanya mengenai kemungkinan itu, Hague berkata, siapa sasaran Predator bergantung kepada bagaimana kerajaan Libya bertindak balas. - AFP

No comments:

Post a Comment