Tuesday, April 19, 2011

Denda RM25,000


KUALA LUMPUR: Denda RM25,000 atau penjara tiga tahun akan dikenakan kepada mereka yang gagal mendapatkan sijil pengesahan keselamatan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) sebelum menjual kenderaan kepada pembeli lain, manakala pengusaha syarikat kereta terpakai yang degil berdepan denda RM100,000.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bertujuan melindungi hak pengguna supaya kenderaan terpakai yang dibeli bukan kenderaan potong, curi atau rosak teruk.

Katanya, kementerian menetapkan 1 Jun ini sebagai tarikh kuat kuasa dan pihak yang tidak mematuhinya bakal berdepan tindakan tegas.

“Tiada alasan untuk tidak melakukan pemeriksaan kerana tempohnya hanya sejam.

“Puspakom juga bersetuju memberikan khidmat terbaik bagi memudahkan urusan itu supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak dan sijil dikeluarkan pada hari sama,” katanya.

Menurutnya, bayaran untuk pemeriksaan itu juga tidak ditetapkan kepada penjual sebaliknya melalui perbincangan antara penjual dan pembeli.

“Kami juga akan pastikan bayaran dikenakan tidak membebankan penjual atau pembeli dan langkah itu hanya untuk melindungi pengguna supaya tidak berhadapan dengan masalah pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Tahun 2010 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment