Tuesday, April 5, 2011

Pemimpin pemberontak Kaukasus masih hidup

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

MOSCOW 4 April – Pemimpin pemberontak Kaukasus Utara yang dilaporkan terbunuh oleh pegawai Rusia dalam serangan udara pada minggu lepas, didapati masih hidup, kata satu laman web yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan tersebut.

‘‘Doku Umarov, 46, yang mengetuai Emiriyah Caucasus masih hidup dan sihat. Dia tidak cedera kerana tidak berada di kawasan pengeboman berkenaan,’’ kata Kavkazcenter.com, semalam.

Pasukan keselamatan Rusia pada Selasa lalu melancarkan serangan udara ke atas sebuah kubu militan di Ingushetia dan membunuh 17 orang termasuk orang kanan Umarov, Supyan Abdullayev, isteri dan doktornya, kata pegawai.

Mayat berkenaan akan menjalani ujian DNA untuk memeriksa sama ada Umarov terbunuh bersama penyokong kuatnya, kata para pegawai pada Jumaat lalu.

Beberapa sumber menyatakan kemungkinan Umarov terbunuh dalam serangan pada 29 Mac lalu adalah 75 peratus.

Kavkazcenter.com menafikan wanita yang terbunuh dalam serangan udara itu adalah isteri Umarov dan ia menyatakan jumlah mayat yang dihantar ke bilik mayat tempatan adalah 10 orang bukan 17 orang.

Laman web itu juga mengesahkan Abdullayev terbunuh dalam serangan itu.

Kavkacenter.com digunakan oleh pemberontak untuk menyiarkan video dan kedudukan kerajaan Rusia. – AFP"

No comments:

Post a Comment