Tuesday, April 12, 2011

Wanita Saudi tuntut hak mengundi


JEDDAH: Sekumpulan wanita Arab Saudi semalam melancarkan laman web untuk berkempen supaya golongan itu diberi hak mengundi dalam pilihan raya majlis perbandaran.
Usaha yang dipanggil ‘Baladi’ itu menarik lebih 2,000 wanita.

Penganjur berkata kempen itu dijalankan oleh golongan wanita dan mempunyai penyokong dari pelbagai tempat berbeza di negara itu.

Mereka mahu supaya wanita dibenarkan mengambil bahagian dalam perkhidmatan majlis perbandaran memandangkan mereka juga memainkan peranan dalam masyarakat.

Kempen menekankan peranan penting dalam pentadbiran yang diberikan kepada wanita dan pencapaian wanita Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.

Menurut penganjur, wanita sudah menjawat jawatan penting dan patut dibenarkan mengundi. “Wanita kini sudah melangkaui peranan tradisionalnya dan mampu memimpin masyarakat. Pencapaian mereka perlu dipertahankan,” menurut kenyataan kempen itu. - AP

No comments:

Post a Comment