Friday, April 15, 2011

Waran tangkap terhadap Norman, Memey

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini memerintahkan waran tangkap disempurnakan terhadap pelakon Norman Hakim dan pasangannya, Memey yang menghadapi pertuduhan berkhalwat tiga tahun lalu selepas mereka gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Hakim Salehan Yatim mengarahkan waran itu dikeluarkan selepas pasangan itu tidak mengemukakan alasan atau sebab yang kukuh kenapa mereka tidak hadir.
Dalam prosiding itu, peguam Munirah Abu Bakar yang mewakili pasangan itu, memberitahu mahkamah beliau menerima panggilan telefon daripada Norman pagi tadi memberitahu beliau tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.
Bagaimanapun, katanya, Norman tidak memberi sebarang sijil cuti sakit.

Katanya, Norman turut memberitahu beliau bahawa Memey berada di luar kawasan yang menyebabkan dia tidak boleh hadir ke mahkamah.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 35, dan Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, yang juga seorang pelakon, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi 30 Oktober 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Salehan menetapkan 29 Julai ini bagi keputusan sama ada pasangan itu didapati bersalah atau tidak terhadap tuduhan itu dan memerintahkan kedua-duanya hadir pada tarikh berkenaan.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada Oktober tahun lalu selepas hampir dua tahun perbicaraan kes berkenaan yang memanggil lapan saksi pendakwaan termasuk bekas pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.

Terdahulu, pendakwa Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal memohon waran tangkap terhadap pasangan itu dikeluarkan atas alasan mereka sepatutnya mengutamakan kes mahkamah berbanding perkara lain. - BERNAMA Berita Harian Online | Waran tangkap terhadap Norman, Memey

No comments:

Post a Comment