Thursday, May 26, 2011

Akmal gembira tatap wajah rakan, penjaga


TIADA kata-kata dapat menggambarkan kegembiraan dan rasa syukur buat satu-satunya mangsa tanah runtuh yang dirawat di Hospital Pakar KPJ Kajang, Muhammad Akmal Mohd Jefry, 11, sebaik menatap wajah sembilan rakan serta penjaga Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, semalam.


Ditemani kedua ibu bapanya, Muhammad Akmal, semalam menziarah semua rakannya di Hospital Ampang di sini, sehari selepas dibenarkan pulang dan mengambil kesempatan singgah dari satu katil ke satu katil rakannya termasuk dua yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya gembira dapat berjumpa kawan selepas tragedi menimpa madrasah kami, Sabtu lalu. Saya doakan mereka semua cepat sembuh agar kami dapat kembali belajar bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang.
Dalam tragedi itu, Muhammad Akmal yang juga anak bongsu dari empat beradik, cedera di kaki dan kepala akibat dihempap besi khemah yang roboh ketika tanah runtuh.

Walaupun kakinya masih terasa kebas, beliau menggagahkan diri mengajak ibu bapanya ke Hospital Ampang untuk berjumpa dengan rakan lain untuk bertanya khabar dan mengetahui keadaan mereka selepas kejadian menyayat hati itu.

Menceritakan saat cemas tragedi Sabtu lalu, Muhammad Akmal yang mengikuti kelas di madrasah itu dua kali seminggu sejak dua tahun lalu berkata, ketika kejadian beliau sedang mengisi air dalam baldi sebagai persiapan menyambut kedatangan tetamu ke madrasah berkenaan.

“Bila saya berpaling, tiba-tiba saya nampak khemah yang menempatkan kawan-kawan saya, roboh. Saya juga lihat cerun di belakang khemah runtuh.
“Saya kemudian lari sekuat hati dan langsung tidak menoleh ke belakang untuk menyelamatkan diri sebelum tergelincir dan terjatuh lalu dihempap besi,” katanya yang juga antara mangsa terawal diselamatkan anggota penyelamat.

Rakannya, Mohd Harris Izzuddin Syahrul Azmi, 11, yang masih dirawat di wad khas bencana Hospital Ampang, pula berkata beliau semakin sihat dan tidak sabar kembali ke madrasah itu.

“Apabila benar-benar pulih dan dibenarkan pulang, saya mahu kembali mengikuti pelajaran di madrasah bersama rakan-rakan lain pada setiap hujung minggu seperti sebelum ini,” katanya.
Berita Harian Online | Akmal gembira tatap wajah rakan, penjaga

No comments:

Post a Comment