Monday, May 9, 2011

Ibu ‘keringkan hati’ cari jasad anak dalam sungai


TABAH...Wan Azleela menenangkan anak sulungnya Mohd Adib Norazman.

TABAH...Wan Azleela menenangkan anak sulungnya Mohd Adib Norazman.
Ibu ‘keringkan hati’ cari jasad anak dalam sungai

KUALA PILAH: Sambutan Hari Ibu tidak bermakna bagi seorang wanita apabila kehilangan tiga puterinya sekali gus dalam kejadian arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, Selasa lalu.
Lebih meruntun jiwa apabila jasad seorang anaknya belum ditemui sehingga kini.

Keadaan itu menyebabkan Wan Azleela Wan Abdullah, 33, masih tekad berusaha mencari jasad anak bongsunya, Nurshaza Shakinah Said, 2, walaupun kejadian masuk hari keenam, semalam.

Malah, ibu berjiwa kental itu mengetepikan kesedihan kehilangan tiga anak kesayangannya serentak dalam kejadian fenomena ‘kepala air’ itu untuk turut serta turun ke sungai bagi mencari anak bongsunya.

Menurut Wan Azleela, dia amat sedih kerana tidak berpeluang menyambut Hari Ibu bersama anak-anaknya.

“Tiada lagi kucupan dan rengekan manja mereka. Hanya Tuhan tahu perasaan ini dan saya nekad mahu memastikan anak bongsu saya itu mempunyai pusara.


“Saya amat berharap Shakinah ditemui kerana bila ada jasad bermakna akan ada kubur mereka. “Saya boleh melawat kubur untuk mengubat kerinduan terhadap mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan isterinya, Datin Norainee Mohd Yatib meluangkan masa menziarah keluarga mangsa di lokasi kejadian, semalam.
Wan Azleela berkata, air matanya sudah kering menangisi pemergian tiga anaknya itu termasuk Nurshaza Alisa, 5, Nurshaza Azira, 4.

“Sejak anak-anak hilang, saya menyertai gerakan mencari tidak kira siang atau malam tanpa mempedulikan kesejukan air sungai.

“Namun, saya tahu mereka gembira dan riang di sana. “Apabila bersendirian, saya sentiasa melihat Shakinah tersenyum ke arah saya.

“Saya berdoa mereka dirahmati Allah. Saya juga berharap mereka mendoakan saya tabah menjalani hidup ini di dunia tanpa kehadiran mereka di sisi,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, seorang kaunselor Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah ditugaskan memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa supaya dapat menerima hakikat kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, pihaknya kini membahagikan kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) kepada dua kumpulan membabitkan kawasan sungai yang dalam dan tempat berkelah.

No comments:

Post a Comment