Monday, May 16, 2011

Keputusan kes liwat Anwar hari ini



KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga tahun berlanjutan, kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah akan memberi keputusan pagi ini selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak di akhir pendakwaan sama ada akan membebaskan Anwar atau memanggil bela diri.
Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Anwar yang kini dihimpit kontroversi rakaman video seks pernah didakwa atas tuduhan serupa iaitu meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada 2000 namun selepas disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara empat tahun, hukuman terhadapnya diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Seramai 27 orang saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 3 Februari tahun lalu dengan saksi pertama ialah pengadu sendiri, Mohd. Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar ketika menghantar fail yang tertinggal di pejabat.
Mohd. Saiful dalam keterangannya juga mendakwa tidak membuang air besar selama dua hari selepas kejadian sebelum membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008.

No comments:

Post a Comment