Tuesday, May 17, 2011

Lelaki ditabal Sultan Sulu kena tahan


KOTA KINABALU: Selepas tiga bulan menghilangkan diri dipercayai melarikan diri daripada ditahan polis, lelaki yang dilaporkan ditabalkan sebagai Sultan Sulu di di Likas dekat sini, awal Februari lalu, berjaya ditahan lewat petang kelmarin. 


Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, 54, ditahan sejurus tiba di rumahnya di Likas kira-kira jam 6 petang dari Kuala Lumpur.
Sumber berkata, suspek tidak melawan ketika ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Khas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kepayan di sini untuk disoal siasat.
Semalam, polis memperoleh perintah menahan reman suspek selama beberapa hari. 

Minggu lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata, polis Sabah terpaksa meminta kerjasama Interpol kerana suspek dipercayai sudah meninggalkan negeri itu. 

Polis yang menjalankan siasatan sejak Februari lalu sudah mengemukakan hasil siasatan kepada Bukit Aman tetapi diminta meneliti beberapa aspek tertentu berkaitan laporan istiadat pertabalan lelaki itu sebagai Sultan Sulu. 

Februari lalu, polis mengambil keterangan 18 orang berhubung siasatan kes itu kerana ia diklasifikasikan sebagai serius dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam negeri. 
Bagaimanapun, Datu Mohd Akjan dilaporkan mendakwa, majlis itu bukan pertabalan, sebaliknya kenduri kesyukuran selepas beliau bersetuju menerima tawaran ‘kerajaan sementara Sulu' untuk dipilih sebagai Sultan Sulu Ke-33. 

No comments:

Post a Comment