Tuesday, May 17, 2011

RM30 sekilogram tarikan pencuri

TM Johor rugi RM800,000 apabila 312 kes curi kabel sejak awal tahun


SEDILI: Logam tembaga yang mampu dijual sebagai barangan lusuh pada harga RM30 sekilogram, menyebabkan kabel telefon milik syarikat penyedia khidmat telekomunikasi, Telekom Malaysia (TM) Berhad, di kawasan luar bandar negeri ini, menjadi sasaran mudah kecurian pihak tidak bertanggungjawab.
Sejak awal tahun ini hingga Mac lalu, TM Johor sudah berdepan dengan 312 kes kecurian kabel di seluruh negeri, menyebabkan kerugian kira-kira RM800,000 selain menimbulkan masalah perhubungan kepada ribuan orang ramai khususnya pengguna telefon talian tetap syarikat itu.
Pengurus Besar TM Johor, Mohd Roslan Mohd Rashidi, berkata sepanjang tahun lalu, kecurian kabel di Johor kelima terbesar membabitkan 1,059 kes yang menyebabkan kerugian kira-kira RM3 juta daripada RM33 juta dihadapi TM di seluruh negara.

Katanya, kecurian kabel telefon kelihatan selari dengan peningkatan harga tembaga dalam pasaran, apabila menunjukkan peningkatan ketika harga tembaga meningkat naik, kerana pencuri mengambil kesempatan sebagai sasaran mudah.

“Kecurian menjadi-jadi jika harga tembaga dalam pasaran naik kerana pihak tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan mudah, walaupun hakikatnya mereka menyusahkan orang ramai.

“Malah, akibat tindakan mereka juga, penduduk di kawasan terjejas bukan saja terputus hubungan, malah TM menanggung kerugian dari segi masa, tenaga dan wang untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala," katanya kepada Berita Harian di sini.
Mohd Roslan berkata, daripada kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu, 705 kes berlaku di sekitar Johor Utara menyebabkan kerugian RM1.7 juta, manakala bakinya 354 kes di sekitar Johor Selatan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta.

Katanya, antara daerah yang menjadi penyumbang terbesar kes kecurian dilaporkan adalah Batu Pahat diikuti Kluang, Tampoi/Permai, Senai/Kulai dan Muar dengan kebanyakan kes berlaku di kawasan kampung dan pedalaman.

“Kebiasaannya kecurian didalangi penagih dadah kerana terdesak mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah dan cara paling mudah adalah mencuri tembaga dalam kabel telefon dicuri itu.

“Malah, jumlah kabel yang dicuri berkenaan juga adalah bergantung kepada kenderaan yang dibawa mereka termasuk menggunakan motosikal dan lori yang boleh mengangkut lebih daripada 50 meter kabel untuk diambil tembaga kemudian dijual kepada pembeli logam," katanya.

Mohd Roslan berkata, TM berusaha menangani kecurian yang berlaku dengan mengambil langkah proaktif termasuk memasang sistem penggera (i-watch) yang kini sudah meliputi 80 peratus kabel yang menghubungkan kepada pusat jika berlaku kecurian.

Katanya, TM juga turut mendapatkan kerjasama daripada polis untuk melakukan rondaan terhadap kawasan panas yang sering dilaporkan berlaku kecurian, selain membina terowong di bawah tanah serta memasang jeriji di petak berisi kabel dalam tanah.

INFO
Kes kecurian kabel TM


  • Kecurian kabel menimbulkan masalah perhubungan kepada ribuan orang ramai khususnya pengguna telefon talian tetap syarikat itu

  • RM33 juta kerugian dilamai TM seluruh negara akibat kecurian kabel

  • 705 kes berlaku di sekitar Johor Utara menyebabkan kerugian RM1.7 juta, manakala bakinya 354 kes di sekitar Johor Selatan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta

  • Kebiasaan kes didalangi penagih dadah
  • Berita Harian

    No comments:

    Post a Comment