Saturday, May 14, 2011

Orphan Care selamat 30 bayi


PETALING JAYA: Setiap bulan, dianggarkan sebanyak lapan hingga sembilan kes pembuangan bayi kebanyakannya anak luar nikah dilaporkan kepada pihak berkuasa di seluruh negara. 


Laporan dikeluarkan pertubuhan amal, Orphan Care yang memetik statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyebut, bayi terbabit bukan saja dibuang di lokasi awam, tempat pengumpulan sampah dan sungai malah ditanam hidup-hidup.
Presiden Orphan Care, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, sejak ditubuhkan setahun lalu, organisasi itu menyelamatkan 30 bayi yang tidak mahu dipelihara ibu bapa selepas dilahirkan.
“Objektif pertubuhan ini bukannya memberi perlindungan jangka panjang kepada bayi tetapi lebih kepada menjadi ‘orang tengah’. Kami akan menerima atau mencari bayi tidak ingin dipelihara keluarga asal sebelum menyerahkannya kepada keluarga angkat yang berminat dan layak. 

“Sambutan daripada pasangan suami isteri amat menggalakkan iaitu dalam tempoh setahun, 600 pasangan datang ke pejabat atau menghubungi kami untuk mendapatkan bayi angkat,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Faizah berkata, Orphan Care tidak mengenakan sebarang bayaran bagi urusan pengambilan anak angkat, tetapi keluarga angkat perlu membayar kos bersalin ibu bayi terbabit. 

Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan penganjuran majlis makan malam ulang tahun pertama Oprhan Care’s Baby Hatch dan kutipan dana, Sabtu depan. 
Faizah berkata, majlis yang akan dianjurkan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur itu bertujuan meraikan genap setahun penubuhan Orphan Care selain mengutip dana membiayai kos mencetak risalah, menganjurkan program serta aktiviti kemasyarakatan. 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-78761900 atau menelefon Azra di talian 016-2094500 dan Kimi (012-3058802). -bharian

No comments:

Post a Comment