Saturday, May 14, 2011

Peguam bantah pindaan tuduhan ubah wang haram


BUTTERWORTH: Peguam kepada bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar, 38, yang dituduh terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram berjumlah RM2,134,656 tahun lalu, semalam mengemukakan bantahan awal terhadap pindaan pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini. 


Pada prosiding semalam, Badrul Munir Mohd Bukhari berhujah pindaan itu masih tidak menyatakan secara jelas aktiviti haram dilakukan anak guamnya dalam pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Hakim Zairan Mohd Aman menetapkan 1 Jun ini untuk sebutan semula bagi mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung bantahan awal yang dikemukakan.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, Hasbie didakwa terbabit dalam penggubahan wang haram RM2,134,656 hasil aktiviti haram di sebuah rumah di Teluk Air Tawar pada 11 Februari 2010 dan dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Aktiviti haram itu berkaitan kesalahan berat iaitu berkenaan Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dilakukan Hasbie antara 16 April 2007 hingga 13 Ogos 2009. 

Hasbie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dipinda itu. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslem Charles Fernandis. 

Pada 6 Mei lalu, mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan membuat pindaan ke atas kertas pertuduhan dengan menyatakan aktiviti haram dilakukan tertuduh bagi membolehkan pembelaan dilakukan. 
PERTUDUHAN: Kes penggubahan wang haram 

  • Hasbie Satar (kanan) didakwa terbabit penggubahan wang haram RM2,134,656 hasil aktiviti haram di sebuah rumah di Teluk Air Tawar pada 11 Februari 2010. 

  • Tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. 

  • Sabit kesalahan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali. -bharian

  • No comments:

    Post a Comment