Sunday, June 19, 2011

17 maut di jalan raya setiap hari

BERA 18 Jun - Purata kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini pada setiap hari sepanjang tahun lalu adalah seramai 17 orang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan (gambar)memberitahu, pihaknya mencatatkan 6,218 kes kemalangan maut daripada 397,330 kes kemalangan di seluruh negara pada tahun lalu.

Daripada jumlah kemalangan maut itu, kata beliau, penunggang dan pembonceng motosikal kekal sebagai penyumbang terbesar kepada kemalangan maut.

"Sungguhpun banyak usaha dilakukan oleh kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, perangkaan kecelakaan masih tinggi dan membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Satu Komuniti Satu JPJ' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun dekat sini hari ini.

Sementara itu, Solah berkata, JPJ tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang lengkap terhadap pesalah trafik di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau, PBT perlu mengemukakan butir-butir kesalahan secara tepat dan terperinci termasuk nama, alamat, jenis dan waktu kesalahan bagi membolehkan JPJ menjalankan penelitian.

"Selagi tidak mempunyai bukti lengkap, JPJ tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya termasuk menyenarai hitam kenderaan atau pemandu terbabit," katanya.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak pemandu teraniaya.

Beliau memberitahu, pihaknya kini di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi pengeluaran lesen memandu motor berkelompok kepada pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun ke atas.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan pelajar memiliki lesen memandu yang sah dan tahu mengenai peraturan jalan raya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment