Friday, June 10, 2011

ADUN nafi kebakaran dirancang

KOTA KINABALU: Penempatan di Kampung Titingan, Tawau yang terbabit dalam lima kebakaran sejak awal tahun ini, tidak termasuk dalam kawasan pembinaan Bandar Baru Titingan.
Perkara itu ditegaskan Pembantu Menteri Kewangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, bagi menolak spekulasi kononnya kebakaran berkenaan dirancang pihak tertentu. "Projek pembinaan berada di luar penempatan kampung itu. Kita bukan saja menolak keras spekulasi itu, malah penduduk mangsa kebakaran dibenar membina semula rumah di kawasan sama tanpa halangan dengan pembiayaan sendiri.

"Sebagai wakil rakyat kawasan itu, saya membenarkan mereka mendirikan kediaman baru tetapi kita nasihatkan jangan bina terlalu rapat dengan jiran," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.

Kampung Titingan kira-kira lima kilometer (km) dari bandar Tawau, sudah lima kali mengalami kebakaran tahun ini dengan yang terbaru Sabtu lalu, membabitkan Blok 5 yang menyebabkan kira-kira 100 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Kawasan yang turut dikenali sebagai ‘Kampung Ice Box’ itu dibahagi tiga iaitu Kampung Titingan Pasir, Kampung Titingan Tengah dan Kampung Titingan Hujung.
Penduduknya merangkumi pelbagai kaum dengan sebahagian besar rakyat tempatan.
Tawfiq berkata, penempatan itu mudah terbakar kerana terlalu sesak dan padat, selain penduduknya memperoleh tenaga elektrik menerusi penyambungan kabel elektrik secara haram.

Selain itu, katanya, penggunaan papan lapis sebagai dinding rumah juga berisiko tinggi kepada kebakaran, manakala keadaan yang sesak menyukarkan bomba memadam kebakaran.

"Jika berlaku kecuaian walaupun disebabkan lilin, risiko kebakaran amat tinggi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembinaan Bandar Baru Titingan fasa pertama membabitkan bangunan komersial akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kampung berkenaan yang sebahagian besarnya adalah nelayan. Berita Harian Online | ADUN nafi kebakaran dirancang

No comments:

Post a Comment