Wednesday, June 15, 2011

Dewan Rakyat: Penganjur skim kutu berdepan denda RM500,000

DEWAN Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 yang memperuntukkan tindakan lebih tegas terhadap syarikat penganjur perniagaan skim kutu.
Rang undang-undang yang dikemukakan pada sesi persidangan Mac lalu itu memperuntukkan denda sehingga RM500,000 iaitu 100 kali ganda lebih tinggi daripada denda sebelum ini kepada syarikat menganjurkan perniagaan skim kutu.
Pindaan rang undang-undang itu juga bertujuan menambah tempoh penjara maksimum daripada tiga tahun kepada 10 tahun bagi kesalahan sama.
Bagaimanapun, tindakan tidak diambil terhadap penganjur dan pemain wang kutu kecil-kecilan kerana kegiatan itu tidak tertakluk di bawah rang undang-undang berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata akta itu tidak tertakluk terhadap penganjur kutu yang menjalankan kutu pusingan biasa dan membabitkan jumlah wang serta kumpulan kecil.

“Ia fokus kepada penganjur kutu yang membabitkan unsur perniagaan. Kerajaan tidak akan ambil tindakan terhadap penganjur kutu yang menjalankan kutu pusingan biasa sesama kita seperti cari 10 orang atau lebih.

“Jika wujudkan syarikat dan kumpul duit daripada berpuluh-puluh ribu orang serta ada unsur perniagaan seperti penganjur kutu mengambil komisyen misalnya 10 peratus untuk dirinya yang dipanggil caj perkhidmatan atau apa saja, ia tertakluk dalam akta ini,” katanya.
Berita Harian Online | Dewan Rakyat: Penganjur skim kutu berdepan denda RM500,000

No comments:

Post a Comment