Wednesday, June 15, 2011

Jurunilai sahkan banglo RM5.5 juta

SHAH ALAM: Seorang jurunilai bertauliah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bekas menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo membeli dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 di sini, pada harga lebih rendah berbanding nilai hartanah itu.

Pengarah Penilaian di Henry Butcher, Long Tian Chek, 54, berkata, hartanah dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta menerusi urusan jual beli pada 2007 itu mempunyai nilai RM5.55 juta. Beliau memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang penilaian itu berkata, ia berdasarkan nilai hartanah itu pada tahun Dr Mohamad Khir membelinya dari Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni. “Nilai hartanah itu RM5.55 juta iaitu untuk tanah bernilai RM2.35 juta dan bangunan (RM3.2 juta),” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes dakwaan salah laku Dr Mohamad Khir. Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 46, didakwa memperoleh dua lot tanah dan rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, bagi diri dan isterinya, Zahrah Kecik, 46.


Ia diperoleh daripada Shamsuddin, 52, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Hartanah itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini, pada 29 Mei 2007.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Long yang juga saksi pendakwaan ke-8 itu berkata, pihaknya menyediakan laporan penilaian terhadap dua lot tanah dan rumah itu untuk nilai pada 2007 selepas diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 31 Julai 2009. Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya membuat kaedah perbandingan iaitu mendapatkan harga hartanah di Seksyen 7 yang dijual pada 2007 atau kawasan dengan nilai hartanah yang hampir sama. “Kami mendapatkan nilai empat lot banglo kosong di Seksyen 7 yang dijual pada 2007. Satu lagi banglo di tempat sama pada 2009 digunakan untuk mendapatkan gambaran,” katanya. Saksi itu berkata, penilaian dibuat berdasarkan pada harga RM45 untuk setiap kaki persegi dan tanpa mengambil kira projek pengubahsuaian banglo yang sedang berjalan di hartanah itu pada 2007. Katanya, pihaknya turut meneliti penilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Harta Selangor (JPHS) dan pelan bangunan daripada firma Rahim & Co. Ditanya Mohd Dusuki sama ada pernah melawat tapak hartanah dimaksudkan, Long berkata; “Ada pergi pada Ogos 2009, tetapi saya hanya melihat daripada luar.” Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki bersambung hari ini.

myMetro | Jurunilai sahkan banglo RM5.5 juta

No comments:

Post a Comment